12 hari penjara halang tugas polis

KUALA LUMPUR, 10 MEI – Seorang pekerja syarikat penyelenggaraan dipenjara 12 hari dan didenda sebanyak RM10,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menghalang tugas anggota polis yang mengiringi konvoi Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memandu kereta secara melulu serta berbahaya di Lebuh Raya Sultan Iskandar pada Jumaat lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 terhadap Erdy Errwan Hamdan, 36, selepas dia mengaku bersalah menghalang Lans Koperal Mohd Azwar Iqbal Chinang, daripada menjalankan tugas rasminya mengiringi Yang Dipertua Negeri Sarawak di Lebuh Raya Sultan Iskandar, pada 11:30 malam, 6 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Majistret Amanina Mohamad Anuar pula menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 serta tertuduh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, selepas lelaki itu mengaku memandu kereta Honda Civic berwarna kuning dengan cara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya, pada 10 malam di lokasi dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Aina Azahra memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei lalu atau dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala Amanina memerintahkan hukuman penjara lima hari yang berkuat kuasa hari ini atau dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman dan Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali, memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Erdy Errwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang berpendapatan RM1,600 hingga RM1,700, perlu menanggung isteri serta dua anaknya yang masing-masing berumur enam dan tiga tahun selain bapanya baharu meninggal dunia.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa konvoi yang diiringi oleh anggota polis melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar ke susur keluar Jalan Tunku Abdul Halim, sebuah kereta Honda Civic dari arah belakang dipandu secara melulu di lorong kiri jalan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran dengan sebuah lagi kenderaan lain.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka berdurasi 0.53 minit, Honda Civic itu bergerak laju dan memintas konvoi melalui laluan kecemasan di kiri jalan serta mengabaikan isyarat oleh juru iring supaya keluar dari laluan konvoi. – Bernama