Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    61 buah masjid sertai Malam Munajat

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus mendapat sambutan daripada orang ramai dan sokongan padu serta kerjasama warga perkhidmatan awam.

    Acara yang telah berlangsung kelmarin, turut dimeriahkan dengan penyertaan rombongan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang diketuai oleh pengarah-pengarah jabatan secara maya dari masjid-masjid terpilih di Daerah Brunei dan Muara.

    Di samping itu, sebanyak 61 buah masjid seluruh negara juga mengikuti acara tersebut secara maya.

    Turut menyertai majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama pegawai-pegawai kanan JPM dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) secara maya dari Dewan Bankuet, Ibu Pejabat PPDB, Gadong.

    Acara Malam Munajat itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Malam Munajat turut disertai oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
    Antara yang mengikuti majlis Malam Munajat anjuran KHEU yang berlangsung secara maya.

    Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran di Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki.

    Seterusnya, Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT dan terhindar daripada bala bencana serta penyakit merbahaya dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Mohamad.

    Acara diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

    Dalam tazkirah itu, beliau antara lain mengongsikan me-ngenai kelebihan meningkatkan amalan pada bulan Rejab, yang dapat menjadi perisai melindungi diri daripada jangkitan wabak COVID-19.

    Beliau juga menyarankan semua untuk kembali kepada amalan asas iaitu sembahyang, amalan yang diperintahkan kepada umat Islam semasa peristiwa Israk dan Mikraj yang terjadi pada bulan Rejab.

    “Selain itu, kita bolehlah melakukan amalan yang disukai oleh Rasulullah SAW di bulan Rejab, iaitu bersedekah,” tambah beliau.

    Malam Munajat kali ini turut diserikan dengan bacaan Asmaul Husna dan Selawat yang dipimpin oleh Bilal Surau Ibu Pejabat Polis Brunei, PC 6569 Mohammad Zulhairi bin Omarali bersama rekrut-rekrut PPDB, jemaah dan belia, secara maya dari surau tersebut.

    Acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Aidil Sofian bin Haji Mohammad Yassin dari Masjid Kampung Penabai, Tutong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...