Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Andmesh menangis di pentas, terkenang orang tua

    Penyanyi Andmesh tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan mendiang kedua ibu bapanya sewaktu membuat persembahan di Konsert Andmesh Live in Kuala Lumpur pada malam Ahad.

    Andmesh atau nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng, 25, mengalirkan air mata sewaktu mendendangkan lagu Luka dan Hanya Rindu yang didedikasikan buat kedua-dua orang tuanya.

    Kata Andmesh, bapanya sangat berharap agar satu hari nanti dia dapat beraksi di pentas besar dengan iringan pemuzik.

    Namun selepas dia berjaya mencapai impian itu, kedua ibu bapanya pula sudah tiada lagi untuk melihat kejayaan itu.

    “Ayah saya benar-benar mendidik saya untuk menjadi apa yang dia inginkan. Saya mencintai muzik kerana ayah saya.

    “Sewaktu kecil, ayah akan marah sekiranya saya salah bermain alat muzik atau bernyanyi, namun ibu pula yang akan membela saya.

    “Kedua-dua mereka mempunyai pakej sempurna untuk hal yang sangat luar biasa untuk saya. Tidak kira mereka ada atau tidak, saya percaya mereka menonton di sana,” katanya.

    Dalam pada itu, Andmesh turut memberi penghormatan kepada kedua adiknya yang turut berada di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre yang hadir menyaksikan konsert sulung penyanyi berkenaan di Kuala Lumpur.

    Tambah Andmesh, dia kini tidak lagi mempunyai sesiapa kecuali dua orang adik yang paling berharga dan mereka menjadi sebab dia terus tersenyum.

    Malah, kedua-dua adiknya turut naik ke pentas sewaktu penyanyi itu menyampaikan lagu Hanya Rindu dan menangis bersama.

    “Saya perlu beri penghormatan kepada kedua-dua adik saya yang datang dari jauh untuk saya.

    “Sejak ketiadaan orang tua kami, merekalah harta yang paling bernilai buat saya,” ujarnya.

    Pada malam itu, penonton juga dikejutkan dengan panggilan video yang dibuat bersama penyanyi popular Indonesia iaitu Mahalini Raharja.

    Panggilan video tersebut dibuat sebelum Andmesh menghiburkan penonton dengan lagu Sial.

    Malah, penyanyi itu sempat berseloroh dengan perkataan Sial yang membawa maksud berbeza bagi rakyat Malaysia.

    “Mahalini, saya bakal membawakan Sial. Apa salah ya? Sebentar, ada bahasa yang salah. Saya akan menyanyikan Sial,” kata Andmesh sambil disambut dengan gelak tawa penonton.

    Mahalini turut memberitahu rindu untuk membuat persembahan di Malaysia dan memaklumkan sekiranya diberikan peluang akan menyanyikan lagu Sial 2.0 bersama-sama Andmesh di Kuala Lumpur.

    Konsert sulung Andmesh Live in Kuala Lumpur menampilkan 15 buah lagu termasuk Ku Mau Dia, Bisa Tanpamu, Jangan Lupakan Aku, Cinta Luar Biasa, Anugerah Terindah dan Andaikan Kau Datang Kembali iaitu runut bunyi bagi filem Miracle in Cell No. 7. – Agensi

      Andmesh tidak dapat menahan sebak semasa membuat persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...