Friday, May 10, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Banjir kilat ragut 22 nyawa

    BELEDWEYNE, SOMALIA, 14 MEI – Banjir kilat di tengah Somalia telah mengorbankan 22 orang dan menjejaskan lebih 450,000, kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA hari ini, selepas tebing Sungai Shabelle pecah, memaksa puluhan ribu orang meninggalkan rumah mereka.

    Hujan lebat pada awal minggu menyebabkan air mencurah masuk ke dalam rumah di bandar Beledweyne di wilayah Hiran, menenggelamkan jalan dan bangunan ketika penduduk mengambil barang-barang mereka dan meredah jalan yang dinaiki air untuk mencari perlindungan.

    “Anggaran awal menunjukkan banjir kilat di seluruh Somalia telah menjejaskan sekurang-kurangnya 460,470 orang, di mana hampir 219,000 telah dipindahkan dari rumah mereka terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir, manakala 22 terkorban,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.

    Banjir ‘telah meninggalkan jejak kemusnahan… menenggelamkan rumah dan tanah ladang, menghanyutkan ternakan, menutup sementara sekolah dan kemudahan kesihatan dan merosakkan jalan raya,” kata agensi itu dalam laporan situasi.

    Bencana itu berlaku berikutan kemarau ekstrem yang telah menyebabkan berjuta-juta rakyat Somalia berada di ambang kebuluran, dengan negara bergolak itu turut memerangi pemberontakan Islam selama beberapa dekad.

    Penduduk memberitahu AFP sebelum ini bahawa banjir telah menjadi pengalaman pahit kepada kebanyakan mereka, dengan pakar mengatakan kejadian cuaca ekstrem berlaku disebabkan peningkatan kekerapan dan intensiti perubahan iklim. – AFP

    Pemandangan udara menunjukkan air banjir di Beledweyne, tengah Somalia pada 13 Mei 2023.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...