Thursday, May 9, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bantu keluarga kurang berkemampuan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dalam komitmen berterusan kepada masyarakat, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd (Takaful Brunei) dan anak-anak syarikatnya, Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK) telah menyalurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dalam bulan Ramadan melalui inisiatif Jalur Kasih, baru-baru ini.

    Kempen bulan ini telah berjaya membantu 10 buah keluarga di seluruh Brunei dan Muara serta Daerah Temburong dengan menyumbang barangan keperluan harian seperti makanan dalam tin, detergen pakaian, bahan masakan, beras dan banyak lagi.

    Kunjungan ke rumah-rumah penerima diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

    Setiap lawatan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, agar penerima sentiasa dimurahkan rezeki dan diringankan beban mereka.

    Dengan adanya sumbangan seumpamanya, Takaful Brunei berharap untuk menjadi sebahagian daripada komuniti yang bersatu untuk membantu keluarga kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan dan bulan Syawal yang akan datang.

    Jalur Kasih merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bulanan yang bertujuan memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati kegembiraan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat di seluruh negara.

    Gambar ramai rombongan Kempen Jalur Kasih yang diketuai Haji Shahrildin, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN TAKAFUL BRUNEI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...