Wednesday, May 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Bengkel UK-Brunei bincang masa depan ekonomi hijau

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Suruhanjaya Tinggi British telah mengadakan sesi rangkaian dan diikuti dengan bengkel mendalami Laporan Rangka Kerja Ekonomi
    Hijau UK-Brunei (BGEF) yang berlangsung di Hotel Radisson pada 17 April lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan laporan berkenaan disediakan oleh ARUP dengan konsultasi rapat Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), pihak-pihak berkepentingan setempat dan pakar-pakar antarabangsa dari United Kingdom (UK).

    Laporan BGEF menyediakan pandangan komprehensif, cadangan dan langkah tindakan ke arah sebuah ekonomi yang lebih hijau dan berdaya tahan bagi Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel itu mengumpulkan wakil-wakil relevan dari MOFE, Jabatan Tenaga dan Pejabat Perubahan Iklim Brunei serta Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Semasa sesi rangkaian yang diadakan, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Catherine Pochkhanavala-Cleeve menerangkan bahawa laporan itu merupakan sebuah hasil yang penting bagi Suruhanjaya Tinggi British di mana penyahkarbonan dan kepelbagaian ekonomi merupakan topik yang UK amat teruja untuk memberikan sokongannya.

    Bengkel mendalami pemahaman mengenai laporan berkenaan telah dikendalikan oleh ARUP dan Suruhanjaya Tinggi di mana ia mendalami empat peluang ekonomi hijau utama iaitu Boleh Diperbaharui (Renewables), Penyimpanan dan Penangkapan Karbon (CCS), Hidrogen serta Ekonomi Sirkular.

    Ia dipermudahkan dengan perbincangan dan kolaborasi antara pakar-pakar Brunei dan UK dalam ruang ekonomi hijau. Bengkel turut mengetengahkan pembentangan daripada pakar-pakar UK di mana mereka memberikan penerangan mengenai topik ekonomi hijau yang relevan serta mendapatkan pandangan dan ulasan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kerja UK-BGEF.

    Sesi rangkaian dan bengkel melambangkan langkah signifikan ke arah memupuk kolaborasi dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan antara UK dan Brunei dalam bidang ekonomi hijau.

    Antara yang hadir pada bengkel tersebut yang diadakan di Hotel Radisson, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN SURUHANJAYA TINGGI BRITISH
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...