Tuesday, April 30, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Beraya di Brunei ibarat ‘rumah kedua’

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Meskipun Syawal sudah membuka tirainya, namun masih banyak pelanggan yang tidak melepaskan peluang membuat tempahan baju raya mereka untuk diperagakan sepanjang musim lebaran ini.

    Begitulah kesungguhan yang menjadi prinsip bagi salah seorang penjahit baju cara Melayu dan baju kurung yang berasal dari India, Niyaz Ahmad yang sudah lama tidak berkesempatan meraikan Hari Raya bersama ahli keluarga di India demi mencari sumber rezeki yang halal.

    Hakikatnya, beraya di perantauan pastinya menjadi satu cabaran besar apabila terpaksa berpisah daripada keluarga tersayang, namun keyakinan demi mencari rezeki itulah yang memberi kekuatan kepada insan berusia 50an ini untuk terus bangkit lebih-lebih lagi dalam menyiapkan tempahan para pelanggan.

    “Selama 28 tahun saya bekerja di sini, sejujurnya hanya sekali saya pernah menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga di India. Namun, perkara tersebut tidak mematahkan semangat saya untuk mencari rezeki yang halal di perantauan.

    “Alhamdulillah, sepanjang berhari raya di negara ini, saya berasa sungguh gembira dengan adanya masyarakat Brunei dan India yang turut berjuang mencari sumber rezeki di sini dalam sama-sama meraikan hari kemenangan ini dengan penuh keamanan dan kedamaian. Mereka ibarat keluarga kedua saya,” ujar Niyaz yang berkesempatan ditemui penulis sebelum mengambil baju yang sudah siap ditempah baru-baru ini.

    Niyaz ketika ditemu bual oleh wartawan. – GAMBAR SERAHAN NIYAZ
    Abu Salim semasa menyiapkan tempahan para pelanggannya. – GAMBAR SERAHAN NIYAZ
    Niyaz dan Abu Salim semasa beraya di salah sebuah kediaman penduduk setempat, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN NIYAZ

    HIDANGAN ENAK DAN UNIK

    Manakala itu, salah seorang rakan seperjuangannya yang sama-sama bekerja di salah sebuah kedai jahit di Daerah Tutong, Abu Salim, 33, turut merakamkan kesyukuran di atas rezeki dapat merasai kenangan manis menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara luar.

    Beliau yang sudah bekerja di negara ini selama lebih lapan tahun, menjelaskan apa yang lebih menggembirakan adalah adanya acara kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.

    “Hari Raya di sini begitu meriah, dengan lampu berwarna-warni menyerikan setiap kediaman pada waktu malam.

    “Selain itu, saya turut menikmati betapa enaknya variasi hidangan di negara ini yang pastinya tidak sama di negara kami. Antara kuih-muih yang paling saya sukai ialah kek batik dan kek tapak kuda,” ujarnya.

    RINDU TETAP DIRASAI

    Meski lama tidak menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga di India, Niyaz dan Abu Salim bersyukur dapat merasai detik kenangan manis menyambutnya bersama masyarakat di negara ini.

    “Mohon maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam khususnya para pelanggan yang mengenali diri kami. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” ujar mereka yang turut memohon doa agar semua ahli keluarga di tempat kelahirannya di India sentiasa dalam perlindungan Allah.

    Perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia setiap tahun dan bagi kebanyakan orang, Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang penuh dengan kegembiraan kerana mereka dapat berkumpul bersama keluarga dan sahabat-sahabat terdekat.

    Namun, bagi mereka yang menyambut Hari Raya di luar negara atau di perantauan, mereka sering menghadapi cabaran yang besar untuk meraikan perayaan ini. Kesukaran untuk pulang ke kampung halaman atau berada bersama keluarga mereka di tempat atau negara asal mereka, menjadikan Hari Raya di perantauan merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.

    Berbekalkan semangat kegigihan dan keyakinan dalam mencari sumber rezeki, mereka tetap berjuang untuk merayakan Hari Raya dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...