Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Binance disaman 3 juta euro

    THE HAGUE, 18 JULAI – Bank pusat Belanda berkata hari ini bahawa ia telah menyaman Binance, sebuah platform pertukaran mata wang kripto terbesar dunia, dengan lebih dari tiga juta euro atas kesalahan melanggar undang-undang Belanda ketika mendaftarkan aktivitinya.

    “Pada 25 April, bank pusat Belanda mengenakan denda pentadbiran sebanyak 3,325,000 euro (AS$3,376,000) ke atas Binance Holding Ltd,” kata DNB. Sejak itu, Binance membuat permohonan untuk didaftarkan dan mengemukakan rayuan terhadap saman itu, kata DNB.

    Syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan pertukaran mata wang kripto di Belanda dimestikan mendaftar aktiviti mereka di bawah undang-undang yang bertujuan untuk mengelak daripada aktiviti menggelapkan wang dan membiayai aktiviti keganasan.

    “Jika pendaftaran ini tidak dimestikan, ia akan menjadi sukar mengawal risiko pergerakan jenayah dalam kewangan,” kata bank itu. Pelanggaran undang-undang oleh Binance itu dianggap satu kesalahan yang sangat serius. Pada Mei lalu, Binance mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa pasaran kewangan Perancis, AMF yang berpangkalan di Perancis.

    Pihak berkuasa Britain berkata pada tahun lalu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan itu berkemungkinan tidak dipantau dengan betul dan memberi risiko kepada pengguna.

    Binance adalah satu platform pertukaran mata wang terbesar dalam pasaran mata wang kripto. Ia mencatat AS$32 trilion dalam transaksi pada tahun lalu dan mempunyai 120 juta pelanggan. Mata wang kripto beroperasi di sudut ekonomi yang sebahagian besarnya tidak terkawal dan nilai mata wang tersebut cenderung mengalami turun naik yang tidak menentu. Selepas dikejutkan dengan pandemik COVID, nilai mata wang itu menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Sebanyak dua pertiga dari nilai pasaran sektor itu mengalami kerugian. Pengguna menganggap mata wang kripto dan teknologi yang digunakan sebagai asas kepada alternatif pengagihan kepada sistem perbankan aliran utama dan membantah ke atas sebarang peraturan. – AFP

    Binance telah disaman oleh bank pusat Belanda sebanyak lebih dari tiga juta euro kerana melanggar undang-undang.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangkai tikus dalam roti, lebih 100,000 ditarik balik di Jepun

    TOKYO, 8 MEI - Lebih 100,000 peket roti telah ditarik balik di Jepun selepas bahagian bangkai tikus hitam ditemui di dalamnya, kata pengilang hari...