Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Brunei bakal bertemu Timor Leste

    Oleh Fadhil Yunus dan James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam akan bertemu Timor Leste dalam pusingan kelayakan Piala Mitsubishi Elektrik Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2022 (AMEC 2022) bermula minggu ini.

    Perlawanan tersebut akan diadakan secara timbal balik di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Pusingan pertama perlawanan akan diadakan pada 5 November, pukul 3:45 petang. Manakala perlawanan timbal balik akan diadakan pada 8 November, pukul 2:30 petang. Pemenang perlawanan timbal balik itu akan mara ke Peringkat Kumpulan AMEC 2022 yang akan dijalankan dari 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.

    Ketua Jurulatih Kebangsaan Brunei, Mario Rivera Campesino dalam satu sidang media berkata, “Kami sudah bersedia berdepan Timor Leste dalam kejohanan ini di laman sendiri. Kami akan berikan yang terbaik dan cuba untuk menang.

    “Kami boleh bersedia dengan lebih baik lagi. Situasi COVID-19 pada masa ini telah memberi kesan ke atas tahap kesihatan para pemain dan walaupun ia tidak berada pada tahap yang terbaik, saya rasa pasukan kami mempunyai tahap kesihatan yang cukup baik untuk bertanding,” katanya sambil menyatakan beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan ada juga yang dijangkiti virus COVID.

    Gambar (dari kiri) Pengarah Teknikal FABD, Ketua Jurulatih Kebangsaan Brunei, ahli-ahli Jawatankuasa FABD dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Media FABD dalam satu sidang media, baru-baru ini.

    “Prestasi Timor Leste sudah meningkat. Ada pemain muda mereka yang bermain dengan bagus, namun, masih kurang berpengalaman.”

    Sementara itu, ahli Jawatankuasa FABD, Morni Zakaria berkata, “Semua persiapan telah dilakukan.

    “Kami hanya menunggu kedatangan para pegawai AFF ke sini. Saya harap pasukan kita boleh mendapatkan kemenangan di laman sendiri dan di hadapan para peminat yang datang menyokong aksi kami nanti.”

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah ahli Jawatankuasa FABD, Bujang Haji Japar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Media FABD, Haji Johari Haji Awang Achee dan Pengarah Teknikal, Paul Christopher Munster.

    Tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut akan dijual pada harga $10, dengan 200 orang pembeli pertama bakal mendapat barangan eksklusif daripada FABD. Tiket akan mula dijual pada 3 November di FABD House hingga hari perlawanan di stadium nanti.

    Para penyokong dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini dari laman web rasmi FABD dan media sosial untuk sebarang maklumat lanjut berhubung pembelian tiket. Dengan jumlah terhad untuk menyaksikan perlawanan ini, para penyokong dinasihatkan supaya membeli tiket awal sebelum hari perlawanan bermula.

    Berkenaan norma baharu pasca COVID-19, semua penyokong digesa supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

    FABD menyeru orang ramai untuk hadir dan sokong pasukan bola sepak Brunei Darussalam dengan harapan agar negara kita akan layak untuk mara ke pusingan yang seterusnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...