Tuesday, May 7, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    ‘Cleanfluencers’ sensasi terkini media sosial

    Gambar AFP

    HELSINKI – Marie Kondo mungkin telah menyerah kalah, tetapi generasi baharu ‘cleanfluencers’ telah menjadi sensasi dan memukau media sosial, dengan jutaan orang menonton mereka membersihkan rumah yang kotor dan mengongsikan tip pembersihan.

    Menggeledah menerusi timbunan sampah, Auri Kananen menemukan sepotong piza busuk di lantai sebuah apartmen Helsinki, dengan serangga memakannya.

    “Saya suka kerja-kerja membersihkan, saya suka kotoran,” kata wanita warga Finland berusia 30 tahun itu, yang mempunyai pengikut media sosial yang lebih ramai daripada Kondo, guru pengemas Jepun yang telah mengakui menjalani kehidupan yang tidak kemas sejak melahirkan anak ketiga.

    Kananen dengan cepat menjadi salah seorang ‘cleanfluencers’ paling berjaya di dunia, melakukan perjalanan ke seluruh dunia untuk mencari ‘rumah yang paling kotor mungkin’.

    “Saya ingat ketika saya mempunyai 19 pengikut. Malah pada saat itu, rasanya amat teruja mempunyai 19 orang tidak dikenali yang ingin melihat saya membersihkan,” kata Kananen, atau aurikatariina seperti yang dikenali oleh sembilan juta pengikutnya di TikTok, dengan dua juta pengikut di YouTube.

    Cleanfluencer TikTok Auri Kananen dengan piza basi ketika dia mengemaskan longgokan sampah dan sisa makanan di sebuah apartmen di Helsinki, Finland.

    Auri Kananen membersihkan timbunan sampah di apartmen di Helsinki.
    Cleanfluencer TikTok Auri Kananen bersama telefon bimbitnya ketika dia mengemaskan timbunan sampah dan sisa makanan di sebuah apartmen di Helsinki.

    Dalam video-video yang ceria, dia mengelapkan habuk, menggosok dan mengasing-asingkan barang, mengenakan sarung tangan getah warna merah jambu yang menjadi ciri khasnya, sambil muzik pop yang rancak dimainkan di latar belakang.

    Suara latarnya sering menjelaskan bagaimana orang yang dibantunya berakhir tinggal dalam keadaan yang kotor.

    “Biasanya orang mempunyai masalah kesihatan mental atau tragedi lain yang terjadi dalam hidup mereka,” beritahu Kananen kepada AFP.

    Dia menjelaskan bahawa apartmen di Helsinki merupakan rumah seorang pemuda yang mengalami depresi dan adiknya menderita sklerosis berbilang.

    Dia dapat merasakan apa yang dirasakan oleh orang yang tinggal dalam keadaan yang sengsara dan menyedihkan kerana dia sendiri pernah mengalami masa depresi, katanya.

    “Saya tahu betapa teruknya keadaan itu,” katanya.

    Namun pengalamannya telah menunjukkan kepadanya bahawa tidak ada situasi yang tidak adanya harapan.

    Bahagian komen dari video-videonya dipenuhi dengan orang yang mengatakan betapa video-video tersebut telah membantu mereka menghadapi kesulitan mereka, memuji gayanya yang tidak bersifat menghukum dan mengadili.

    “Saya suka cara dia memahami orang dalam situasi ini dan membantu mereka daripada menyalahkan mereka,” tulis salah satu komentator.

    Pengemas TikToK

    Dengan meningkatnya kepopularan TikTok di seluruh dunia, video pembersihan telah menjadi sangat popular di media sosial, mendorong semakin ramai orang untuk mulai menyiarkan kandungan tersebut.

    “Saya menonton video-video tersebut dan berfikir, itulah yang saya lakukan di rumah, saya boleh merakam diri saya sendiri melakukannya,” ujar Abbi, 27 tahun, yang dikenali sebagai cleanwithabbi oleh dua juta pengikutnya.

    Ibu tunggal warga Britain ini merakam dirinya sedang membersihkan rumah, mencuci piring, dan mengelap lantai di rumah bata merahnya di Huyton, dekat Liverpool.

    Kerja-kerja membersih telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya kerana anak lelaki bongsunya, Billy, menderita gangguan pemprosesan deria.

    “Dia benar-benar suka dengan rutinnya dan dia suka keadaan yang bersih,” katanya.

    Sekarang Abbi, yang tidak ingin mendedahkan nama penuhnya, menyiarkan video TikTok sebagai sumber pendapatannya. Jenama menajanya untuk menggunakan produk mereka, dan dia memperoleh antara AS$720 dan AS0$1,200 untuk setiap video.

    Abbi yang mempunyai dua anak lelaki bernama Jack dan Billy yang berusia enam dan lima tahun menekan butang rakaman di telefonnya dan segera mengemaskan tempat tidur mereka, mengatur barang mainan dengan rapi.

    “Ia membuat saya berasa tenang, ia seperti terapi,” katanya kepada AFP.

    “Bagi saya, ini seperti melepaskan diri daripada segala kerisauan saya.”

    Ia memuaskan

    Ann Russell, seorang pembersih profesional berusia 59 tahun dari selatan England, mempunyai pendekatan yang berbeza.

    Duduk di sofa dengan anjing hitamnya yang bernama Hollie, dia menjawab pertanyaan daripada salah seorang pengikutnya di TikTok, sambil memegang telefonnya ke wajahnya.

    Untuk menghilangkan kesan kotoran felt daripada meja kayu tanpa merosakkan lapisan varnis, dia mengesyorkan penggunaan alkohol isopropil: “Celupkan putik kapas dalam alkohol dan gosoklah dengan perlahan-lahan.”

    Dia berkata orang perlu diajari cara membersihkan dengan betul.

    “Jika tidak ada sesiapa yang beritahu kamu, bagaimana mungkin kamu tahu?” ujarnya kepada AFP.

    Russell menghasilkan antara empat hingga 12 video setiap hari, menjawab pertanyaan daripada 2.3 juta pengikutnya dengan cara yang tegas.

    “Saya membuka telefon, saya bercakap kepada telefon, itu saja. Itu sebaik-baiknya yang dapat saya lakukan. Saya bukannya pakar,” kata Russell sambil tertawa.

    Russell berkata kepuasan dalam melakukan kerja-kerja membersihkan mungkin menjadi sebab di sebalik kejayaan video-video tersebut.

    Kebanyakan penontonnya bersama Abbi terdiri daripada wanita dan golongan milenium, serta individu yang mengalami kesukaran mencari motivasi untuk membersihkan rumah.

    “Mencuci sarung kaki, memadankannya dan meletakkannya di dalam laci memberikan kepuasan kerja yang dilakukan yang baik,” katanya.

    “Ia membuatkan orang berasa terkawal. Dan kerana mereka berasa terkawal dalam kehidupan peribadi mereka, mereka merasakan bahawa dunia luar adalah tempat yang lebih selamat.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...