Tuesday, May 7, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Coklat bonbon bulat berkilat menjentik deria rasa

    Gambar SWMS

    Stick With Me Sweets (SWMS), yang bermula sebagai sebuah kedai coklat kecil di New York pada tahun 2014, pantas mendapat populariti kerana bonbon kecil yang comel dengan pelbagai isian yang unik. Minggu lalu, SWMS membuka kedai butik pertamanya di luar Amerika Syarikat, di Seoul.

    Pakar membuat coklat berbangsa Korea-Amerika, Susanna Yoon berkata kedai kedua beliau mesti berada di Seoul atas pelbagai sebab.

    “Saya mempunyai hubungan yang mendalam di sini (sebagai seorang Korea-Amerika) dan kembali ke sini terasa seperti saya berada di rumah dan ia benar-benar membawa kembali rasa keterhubungan tersebut.

    “Saya sangat teruja untuk berinteraksi dengan orang di sini dan juga mengumpul pengalaman baharu,” kata Yoon dalam satu temu bual dengan The Korea Herald di kedai butiknya di Apgujeong, Seoul baru-baru ini.

    Sebab lain untuk membuka kedai di Seoul adalah untuk mengimbau kembali hari-hari pelajarannya di sekolah kulinari.

    Yoon bergambar di hadapan kedai butiknya di Apgujeong, Seoul.
    Pakar membuat coklat berbangsa Korea-Amerika, Susanna Yoon.
    Coklat bonbon SWMS dihasilkan dalam pelbagai rasa.
    Hadiah sempena hari perkahwinan daripada SWMS.
    SWMS juga menghasilkan gift box berisi coklat bonbon untuk badan korporat.

    “Walaupun semasa di sekolah, coklat adalah subjek kegemaran saya.

    “Saya merasa seperti saya ingin mengambil elemen yang rumit dan luar biasa serta mengaplikasikannya kepada ramuan dalam coklat,” katanya, menambah bahawa gula-gula coklatnya membantu pelanggan Korea menikmati coklat dalam ‘cara yang pelbagai dimensi’.

    “Coklat tidak begitu popular di Korea. Dan orang di sini lebih biasa dengan mencuba coklat bergaya Perancis klasik, sejenis coklat empat segi licin yang menggunakan krim.

    “Tetapi awda tahu, apa yang boleh awda lakukan dengan coklat itu tiada had. Awda boleh meletakkan cecair, menjadikannya kenyal, lembut, berangin dan mengalir. Awda juga boleh cuba menggunakan lebih banyak tekstur,” kata Yoon.

    Di dalam bonbon berbentuk seperti permata, ramuan yang jarang digunakan seperti garam laut cecair, jambu batu dan buah markisa, pai meringue calamansi, yuzu, bijan dan matcha sesuai dicampurkan dengan asas coklat putih, coklat gelap, dan coklat susu. Di SWMS, pelanggan disarankan untuk memakan bonbon ini dari tepi untuk merasai ramuannya dari atas ke bawah.

    Eksklusif di kedai butik Seoul, SWMS menjual pelbagai kek keju New York, yang secara literalnya adalah versi kecil kek keju yang dibalut dalam bonbon bersaiz kecil, menghasilkan kerak pai dan krim tebal yang sempurna.

    “Kami ingin memastikan bahawa nisbah coklat dan apa yang ada di dalamnya tidak mengganggu rasa,” katanya, menambah bahawa beliau memastikan ketinggian kubah bonbon itu tetap sama.

    Sebelum membuka kedai butik kecilnya, Yoon adalah seorang pakar membuat coklat di Per Se.

    Satu perkara yang telah beliau pegang dengan teguh adalah memastikan kedai-kedainya dibina sekecil mungkin.

    “Kami adalah jenama artisan, bukan dari syarikat besar. Semuanya dibuat secara manual dan misi kami adalah untuk mencipta kenangan yang tak dapat dilupakan. Juga untuk ramuan, kami mendapatkan sendiri semua bahan tersebut. Sama seperti kedai butik Seoul.

    “Kami cuba untuk mendapatkan bijan terbaik di seluruh negara untuk membuat bonbon bijan terbaik,” katanya, menambah bahawa beliau akan sentiasa memastikan coklat yang
    dibuat adalah berkualiti pada sepanjang masa.

    “Bagi saya, coklat adalah kemungkinan yang tak terbatas. Saya mendapat inspirasi secara tidak sengaja,” kata Yoon.

    “Saya memikirkan mengenai kombinasi warna semasa bersiar-siar, melihat bunga dan memerhatikan papan tanda,” katanya. – ANN/Korean Herald

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekolah ditutup di Manipur, India susulan hujan lebat

    NEW DELHI, 6 MEI - Semua institusi pendidikan, termasuk sekolah dan kolej akan kekal ditutup di negeri Manipur, timur laut India sehingga esok berikutan...