Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Festival ditangguh, harimau merayau di kampus universiti

    NEW DELHI, 10 OKT – Sebuah universiti India telah menangguhkan festival teknologi tahunannya dan menggesa pelajar untuk tidak keluar dari kampus pada waktu malam kerana seekor harimau berkeliaran di sekitar fasiliti itu, menurut laporan rasmi dan tempatan hari ini.

    Kucing besar yang terancam itu sudah membunuh dua ekor lembu, dan kira-kira 50 pegawai jabatan hutan telah bekerja sepanjang masa untuk menangkap dan memindahkannya kembali ke kawasan hutan bersebelahan.

    “Kami juga telah menyediakan 10 perangkap kamera untuk menjejaki pergerakannya, serta sangkar, dan sedang menunggu. Tetapi harimau itu belum keluar,” kata pegawai hutan tempatan, Alok Pathak kepada AFP.

    Pathak berkata haiwan itu adalah salah seekor daripada 12 harimau yang tinggal di hutan sekitar Bhopal, ibu negeri Madhya Pradesh, tengah India.

    Harimau belang itu telah bergerak di sekitar kampus yang luas itu, termasuk “kira-kira 400 ekar tanah hutan yang banyak air, dan lembu terbiar sebagai makanan, sejak Isnin lalu,” tambah Pathak.

    Jabatan hutan berkata kampus itu selamat pada waktu siang tetapi menggesa semua orang ‘untuk tidak keluar bersendirian sama ada dengan berbasikal atau berjalan kaki selepas matahari terbenam’.

    Makhluk yang tidak diundang itu telah memaksa universiti itu untuk menangguhkan festival teknologi tahunannya – yang akan bermula pada hari Sabtu dengan kehadiran kira-kira 10,000 pelajar dari seluruh India. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...