Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Forum ketengahkan peluang ekonomi digital

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Dengan matlamat untuk mengetengahkan peluang-peluang ekonomi digital bagi perniagaan Brunei dan bagaimana negara mencapai matlamat transformasi digitalnya, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan APEC (ABAC) telah menghoskan Forum Ekonomi Digital secara maya dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Bank Baiduri.

    Ucaptama telah disampaikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat majlis.

    Terdahulu, Pengerusi ABAC Brunei, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK dan ahli Majlis Ekonomi Digital Brunei, Dayang Hafimi binti Abdul Haadii dalam ucapannya alu-aluannya berkata, transformasi kepada ekonomi digital adalah salah satu pemangkin dalam mengejar ekonomi yang kukuh, cergas dan makmur, dan terdapat keperluan mendesak bagi Negara Brunei Darussalam untuk bersedia menghadapi anjakan paradigma global dalam teknologi.

    Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam ucaptama antara lain menyentuh mengenai penubuhan Majlis Ekonomi Digital yang kemudiannya disusuli dengan keluaran Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Beliau berkata, empat teras strategik Pelan Induk Ekonomi Digital meliputi pendigitalan industri dan perniagaan yang turut menggalakkan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D); pendigitalan kerajaan yang termasuk menyediakan persekitaran yang membolehkan; industri digital yang berkembang yang menawarkan keupayaan dan teknologi; dan pembangunan tenaga manusia dan bakat untuk memastikan tenaga kerja digital ready bagi sekarang dan untuk masa hadapan.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyampaikan ucaptama semasa forum secara maya itu.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut mengetengahkan tiga projek perdana di bawah Majlis Ekonomi Digital iaitu Identiti Digital, Pembayaran Digital dan Hab Maklumat Nasional (NIH) yang bertujuan memacu dan membolehkan penggunaan teknologi digital.

    Sejurus selepas ucaptama, para peserta mendengar pembentangan yang disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Joanne Bala yang menyentuh mengenai Masa Depan Transformasi Digital. 

    Forum juga menampilkan perbincangan panel dengan pakar yang termasuk Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Pengerusi ASEAN-BAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif
    Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Haji Taib; ahli ABAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju; Ketua Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Isa Liew; dan Naib Presiden Cross Border Payments, NETS (Singapore) Pte Ltd, William Chang.

    Panel itu membincangkan perkara yang perlu dilakukan untuk perniagaan melaksanakan strategi transformasi digital yang berjaya dan ancaman digital yang perlu diketahui.
    Panel juga bersetuju bahawa transformasi digital adalah satu perjalanan yang panjang tetapi Brunei perlu menjadi sebahagian daripadanya untuk memastikan komuniti perniagaan mengikuti perubahan yang sedang dihadapi oleh rantau ini.

    Forum itu adalah sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei, satu inisiatif oleh ASEAN-BAC dan ABAC Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Bank Baiduri untuk menghubungkan isu global dengan ekonomi Brunei.

    Darussalam Enterprise, UBD, CSPS, Royal Brunei, Radio Televisyen Brunei, Borneo Bulletin dan Media Permata turut menjadi rakan kongsi dalam program tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...