Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Ganjaran santuni anak yatim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Khatib menyatakan menyantuni anak-anak yatim dengan baik akan mendapat ganjaran yang amat besar di sisi Allah.

    “Dalam hadis Baginda Rasulullah ada menyebutkan bahawa orang yang menjaga anak yatim juga akan diberikan kedudukan yang mulia di syurga nanti,” katanya semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Hulurkan Derma kepada Anak-anak Yatim’.

    Menurutnya, agama Islam sangat mengambil berat mengenai hal ehwal dan kebajikan anak-anak yatim, daripada penjagaan mereka sehinggalah pengendalian harta sekiranya mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan dalam Al-Quran.

    Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk berbuat baik dan mengambil berat terhadap mereka lebih-lebih lagi orang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak yatim tersebut.

    Di Negara Brunei Darussalam, katanya lagi, banyak pihak telah berusaha untuk mengumpulkan dana bagi memberi bantuan kepada anak-anak yatim sama ada daripada pihak kerajaan, swasta atau persendirian antaranya seperti Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA).

    Pada masa ini SMS Brunei Prihatin bagi DANA telah mula dibukakan pada 15 Disember 2021 hingga 15 Jun 2022.

    Projek tahunan ini merupakan salah satu usaha dana bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan mereka melalui perkhidmatan SMS bagi sama-sama membantu anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan bagi menjadikan mereka warganegara yang berguna.

    “Sedekah yang dihulurkan tidak kira banyak atau sedikit bukan saja dapat mengurangkan beban anak-anak yatim tapi juga dapat menimbulkan kebahagiaan di hati mereka, lebih-lebih lagi bagi anak-anak yatim yang hidup susah dan tidak mendapat penjagaan dan perhatian yang sewajarnya,” jelasnya.

    Beliau menekankan bahawa bersedekah itu adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah dan ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah.

    “Sesungguhnya bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau dengan sesuatu yang lain merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan kepada orang yang menerimanya,” ujarnya.

    Orang yang bersedekah itu akan mendapat balasan pahala sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah bagi memenuhi keperluan kehidupan.
    Rasulullah SAW dalam hadis Baginda sering mengingatkan umatnya supaya sentiasa membiasakan diri untuk bersedekah.

    “Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk bersedekah kerana ia merupakan salah satu cara untuk membantu golongan yang susah dan yang memerlukan bantuan supaya fakir miskin dan termasuk juga anak-anak yatim,” tekan khatib lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...