Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Geran khas tahunan: Sarawak mahu formula yang sesuai

    KUCHING, 5 MEI – Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan masih berlangsung untuk mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran khas tahunan kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

    Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah geran untuk negeri itu tidak seharusnya ditetapkan sebaliknya diberi berdasarkan hasil pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan.

    “Kami (Sarawak) amat praktikal dan pragmatik. Apabila anda (Kerajaan Persekutuan) meraih keuntungan, anda berkongsi (dengan Sarawak). Ia perlu berasaskan satu formula dan jika keadaan negara tidak begitu baik, kita sama-sama memikul bebannya.

    “Jadi, berdasarkan formula itu, jika hasil pendapatan (Kerajaan Persekutuan) berkurangan maka jumlah geran juga akan kurang, anda tidak boleh tetapkan (jumlahnya). (Pada masa sama) Kita juga perlu mengambil berat tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Gedong di sini hari ini. 

    Abang Johari berkata isu mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran itu sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

    “Saya amat tegas dalam isu ini dan semasa pentadbiran kerajaan PH, saya sudah mencadangkan formula ini kepada Menteri Kewangan ketika itu namun sehingga kini, mereka belum menghasilkannya,” kata beliau.

    Pada 22 Nov tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perjanjian yang lebih baik untuk kedua-dua negeri sedang dibincangkan dengan kerajaan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

    KUCHING, 5 Mei — Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga,kanan) dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang (tiga,kiri) memotong kek pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri N26 Gedong di Kuching, semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...