KYIV, 22 MEI – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan perang Rusia terhadap negaranya boleh ditamatkan menerusi usaha diplomatik, berbanding ketenteraan sambil ingin kes itu dirujuk kepada keanggotaan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau juga merayu lebih banyak bantuan ketenteraan disalurkan meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden secara rasmi menandatangani pakej bantuan bernilai AS$40 bilion.
Katanya, Ukraine yang dilanda perang perlu menjadi calon penuh untuk menyertai EU, sekali gus menolak cadangan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan beberapa pemimpin EU lain bahawa komuniti berkenaan diwujudkan sebagai zon menunggu untuk bidaan keahlian.
“Kita tidak perlu kompromi, kerana percayalah ia tidak akan berkompromi dengan Ukraine di Eropah. Ia akan menjadi satu lagi kompromi antara Eropah dan Rusia,” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa.
Bercakap kepada saluran televisyen Ukraine kelmarin, Zelensky berkata, terdapat perkara yang boleh dicapai di meja rundingan di mana perang akan mengundang pertumpahan darah serta pergaduhan, tetapi sudah pasti dapat diakhiri dengan diplomasi.
“Perbincangan di antara Ukraine dan Rusia pasti akan berlaku. Di bawah format apa saya tidak tahu,” katanya dan berjanji keputusan beliau akan bersifat adil untuk Ukraine.
Selepas lebih tempoh 12 minggu pertempuran, tentera Ukraine berjaya membendung cubaan Rusia untuk merampas Kyiv dan Kharkhiv, sebuah bandar di sebelah utara. – AFP
