Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Giroud bantu milan benam Sampdoria

    ROM, 21 MEI – Olivier Giroud menjaringkan gol hatrik ketika AC Milan berjaya menundukkan Sampdoria 5-1 yang tersingkir semalam bagi mengekalkan harapan untuk menduduki tempat empat teratas Serie A.

    Terdahulu, Atalanta bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Verona 3-1, keputusan yang membawa pemenang kembali ke tempat Eropah dan juga menghidupkan harapan tipis Cremonese untuk bertahan walaupun mereka mengalami kekalahan memalukan 5-1 di laman sendiri menentang Bologna pada perlawanan pertama hari itu.

    Milan menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut, termasuk dua di San Siro menentang Inter dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, dengan kemenangan yang meyakinkan ke atas pasukan di tangga terakhir dalam kedudukan.

    Rafael Leao memberi gol pendahuluan kepada Milan selepas sembilan minit.

    Selepas Fabio Quagliarella yang berusia 40 tahun itu membalas dengan gol Serie A ke-182 dalam kariernya, tetapi yang pertama musim ini, seorang lagi veteran, Giroud menguasai perlawanan.

    Pemain Perancis berusia 36 tahun itu membawa Milan di depan pada minit ke-23. Dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29 selepas Leao dikasari.

    Brahim Diaz menambah gol keempat selepas 63 minit. Lima minit kemudian, Giroud memenangi pergelutan dengan Bram Nuytinck sebelum menghantar bola yang melantun ke gawang ketika kedua-dua pemain itu jatuh ke tanah.

    Milan kembali memperoleh tempat kelima dan ketinggalan satu mata di belakang Lazio, yang melawat Udinese hari ini, dan ketinggalan dua mata di belakang Inter, yang bertandang ke juara Napoli. Hujung minggu depan, Milan melawat Juventus yang menduduki tempat kedua. – AFP

    Olivier Giroud meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol hatrik semasa perlawanan bola sepak Serie A antara AC Milan dan Sampdoria, di stadium San Siro di Milan, Itali, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda