Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jackson Ting dipilih semula jadi presiden

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Jackson Ting telah dipilih semula sebagai presiden untuk memimpin Persatuan Satu Jalur Satu Laluan Brunei-China bagi penggal 2022-2024 berikutan penyampaian surat pelantikan rasmi dan upacara mengangkat sumpah yang diadakan pada minggu lalu.

    Upacara tersebut dihadiri oleh Duta Besar dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

    Jawatan Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif disandang oleh Lim Han Chiong dan Zhang Qingrui. Sementara Lau Shiew Yuan, Tan Kah Boon, Chieng Ing Nang, Lau How Teck, Lau Kah Huon, Dato Tiong Ing Ping, Dato Lai Heng Wai dan Yang Chow Min memegang jawatan naib presiden persatuan.

    Duta Besar China dalam kata-katanya telah menekankan kepentingan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

    Beliau berkata, “Pada November lalu, simposium ketiga mengenai pembangunan BRI diadakan di Beijing yang dihadiri Presiden Xi Jinping di mana beliau menyampaikan ucapan yang penting. Sejak ditubuhkan, Inisiatif BRI telah terbukti memberikan manfaat kepada negara dan penduduk di sepanjang laluan tersebut. Ia telah menjadi platform kerjasama antarabangsa terbesar di dunia hari ini, membawa faedah ketara kepada pembangunan negara di sepanjang laluan itu.”

    Jackson Ting menandatangani surat pelantikan rasmi disaksikan PYT Yu Hong.
    PYT Yu Hong menyampaikan ucapan pada majlis angkat sumpah berkenaan.

    PYT Yu Hong menambah, “Ketika menghadapi cabaran pandemik, BRI telah menunjukkan ketahanan dengan membuat sumbangan positif kepada negara-negara yang memerangi pandemik, menstabilkan ekonomi dan mempromosi taraf hidup penduduk negara yang terbabit. China telah menandatangani 206 dokumen kerjasama mengenai pembangunan BRI dengan 140 negara dan 32 pertubuhan antarabangsa.

    “Selepas lapan tahun, BRI telah berkembang pesat, dengan jumlah rakan meningkat, kualiti kerjasama semakin tinggi dan prospek pembangunan semakin baik. Projek utama BRI termasuk Sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung, Sistem Kereta Api China-Laos, Sistem Kereta Api Budapest-Belgrade, Sistem Kereta Api Mombasa-Nairobi, Pelabuhan Gwadar, Pelabuhan Hambantota yang kesemuanya telah membawa faedah kepada penduduk tempatan.

    “Persatuan Satu Jalur Satu Laluan Brunei-China ditubuhkan pada 2018. Dengan sokongan kerajaan negara serta perusahaan dan rakyat, kerjasama BRI China Brunei telah mencatat keputusan yang sungguh memuaskan.

    Pada tahun 2018, beliau menekankan bahawa, “Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah mempertingkat hubungan dua hala mereka kepada ‘perkongsian kerjasama strategik’ menerusi pemeteraian pelan kerjasama Jalur dan Laluan.

    Pada 2019, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menghadiri Forum Jalur dan Laluan Kedua untuk Kerjasama Antarabangsa yang berlangsung di China.

    “Kerajaan kedua-dua negara telah menubuhkan jawatankuasa pandu bersama, di mana dua mesyuarat telah diadakan mengenai kerjasama antara kerajaan dan hubungan kedua-dua negara telah bertambah kukuh. Bidang kerjasama di antara kedua-dua negara juga telah berkembang pesat,” tambahnya.

    Dalam tempoh lima tahun lalu, PYT Yu Hong berkongsi jumlah perniagaan dua hala di antara kedua-dua negara telah meningkat dua setengah kali sementara pelaburan China di Brunei telah melonjak hampir tujuh kali. Semasa pandemik, kerjasama di antara kedua-dua negara telah menunjukkan ketahanan kukuh dan jumlah perniagaan telah meningkat dan mencatat rekod tinggi.

    Sementara itu, Jackson Ting dalam ucapannya berkata bahawa, “Persatuan Satu Jalur dan Satu Laluan Brunei-China telah ditubuhkan tiga tahun lalu. Ketika persatuan mulai mencatat perkemba-ngan, dunia dilanda pandemik COVID-19. Oleh yang demikian, persatuan tersebut tidak dapat melaksanakan kebanyakan aktivitinya.”

    Beliau berharap persatuan berkenaan akan terus maju ke depan dan menyumbang kepada pertukaran kebudayaan, perdagangan, pelaburan dan pertukaran rakyat-kepada-rakyat di antara kedua-dua negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...