Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jaguar F-Pace SVR pacu kehebatan, prestasi tinggi

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Kereta utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi, Jaguar F-Pace SVR yang dilancarkan baru-baru ini telah dipertunjukkan kehebatannya semasa pengalaman pandu uji media, yang memacu adrenalin untuk pemandu dan juga penumpang dalam kereta tersebut.

    Pengedar dan peruncit tunggal Jaguar Land Rover di Brunei Darussalam, Indera Motors Sdn Bhd telah menjemput pengamal media tempatan untuk melihat secara lebih dekat dan mengalami sendiri F-Pace SVR itu semasa Taklimat Media dan Pandu Uji: F-Pace SVR, yang diadakan baru-baru ini.

    Penolong Pengurus Pembangunan Produk dan Pasaran Indera Motors, Awang Ahmad Sajjaad bin Haji Rusli semasa taklimat media mengongsikan bahawa F-Pace SVR itu boleh diiktiraf serta-merta sebagai flagship SUV Jaguar disebabkan pelbagai peningkatan luaran unik yang mencerminkan kebolehannya dan menyumbang kepada kualiti yang diinginkan.

    F-Pace SVR baharu ditawarkan dengan rangkaian unik roda aloi yang ditempa berukuran 21 inci dan 22 inci jenama SVR, termasuk reka bentuk baharu 21MY.

    Beratnya yang ringan menyumbang kepada tingkah laku dinamik yang luar biasa bagi F-Pace SVR baharu itu, manakala reka bentuknya membantu prestasi brek dengan menambahkan penyejukan brek.

    F-Pace SVR dikuasakan dengan enjin 5 liter V8 Supercharged Jaguar, berkuasa 550PS (405kW) menjamin pengalaman pemanduan yang mendebarkan setiap kali awda memandu mahupun menjadi penumpang. Dengan teknologi terkini, termasuk ciri-ciri Dynamic Launch, F-Pace boleh memecut dari sifar kepada 100 kilometer sejam dengan hanya 3.8 saat.

    Dari segi dalaman, Awang Ahmad Sajjaad menerangkan bahawa F-Pace SVR ialah F-Pace yang paling memfokuskan pemandu, yang ada setakat ini.

    Ia menawarkan prestasi yang menakjubkan serta pelbagai peningkatan reka bentuk kepada bahagian luaran dan dalamannya. SVR F-Pace baharu dibina lebih lanjut pada DNA yang dibangunkan daripada F-Type dan Range Rover Sport SVR.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem infotainmen Pivi Pro dengan skrin sentuh 11.4 HD dengan tetapan pintar, kemas kini over-the-air dan navigasi bersambung dengan peta 3D generasi seterusnya dan Petunjuk Suara Pintar (Smart Voice Guidance).

    Selain itu, bahagian dalaman juga kini menampilkan bahan yang lebih berkualiti manakala pemilih pemacu baharu, stereng baharu dan pelapik tempat duduk Alcantara baharu bersama-sama sistem infotainment Pivi Pro tersebut meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengalami sendiri kuasa enjin yang ada dalam F-Pace SVR dengan mengunjungi Bilik Pameran Indera Motors.

    Jaguar F-Pace SVR menampilkan beberapa ciri baharu bagi menambah keselesaan pemandu dan penumpang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...