Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jangan putus asa cari kerja halal

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Bumi ini dijadikan Allah SWT sebagai hamparan rezeki yang sangat luas untuk kita berusaha mencari rezeki yang halal lagi baik.

    “Allah juga mencintai hamba-hambaNya yang berusaha gigih bekerja mencari rezeki yang halal untuk nafkah diri dan juga keluarga,” ujar khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bumi: Hamparan Rezeki yang Luas’.

    Selain itu, katanya, Allah SWT memerintahkan manusia supaya berusaha sesuai dengan kemampuan, justeru soal berkaitan kecukupan, keluasan atau kesesuaian rezeki itu terpulang kepada kehendak Allah yang maha luas pengetahuanNya.

    Khatib menjelaskan Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya berdikari dan bekerja supaya tidak menjadi satu beban kepada orang lain atau ahli keluarganya.

    “Orang yang memiliki pekerjaan dianggap mampu berdikari dengan penghasilan mereka sendiri, malah dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dengan membantu orang lain berbanding mereka yang tidak bekerja.

    “Baginda Rasulullah turut memuji orang yang rajin bekerja dan sangat menghargai semua jenis pekerjaan asalkan pekerjaan itu halal, walaupun pekerjaan itu hanya sebagai pemikul kayu api malah Baginda Rasulullah sendiri turut bekerja dan berusaha sebagai penggembala kambing dan peniaga,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, Baginda tidak suka umatnya mengemis, meminta-minta dan menjadi beban kepada orang lain, ini kerana sifat suka meminta-minta adalah antara sifat yang dikeji dalam agama Islam.

    Oleh yang demikian, tegasnya lagi, setiap orang Islam hendaklah menjauhi daripada bersifat demikian.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, katanya, telah menubuhkan satu agensi yang dikenali dengan Manpower Planning and Employment Council (MPEC) yang memfokuskan kepada perancangan tenaga kerja yang kebolehpasaran, bermanfaat dan mampu dalam menangani isu pengangguran di Negara Brunei Darussalam.

    Menurutnya, tidak dinafikan ketika ini terdapat persaingan yang ketat bagi mengisikan jawatan kosong sama ada dalam sektor kerajaan mahupun di sektor swasta.

    Ke arah itu, pelbagai inisiatif dan program telah diperkenalkan dan sedang dilaksanakan bertujuan bagi membantu pencari kerja tempatan meningkatkan kemahiran, kemampuan dan menjadikan pencari kerja lebih keboleh-pasaran.

    Selain pencari kerja juga digalakkan untuk berfikir terbuka dan mengamalkan sifat mahu memperbaiki diri serta tidak mudah berputus asa dalam pencarian pekerjaan.

    Dalam agama Islam, jelasnya, beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk membuka pintu rezeki yang luas antaranya bertakwa kepada Allah selain menjauhi perbuatan dosa dan maksiat, menghubungkan silaturahim, melazimkan sembahyang Sunat Dhuha, memperbanyakkan istighfar, sentiasa bersedekah dan berdoa.

    Sedekah itu mengundang rahmat Allah dan menjadi asbab Allah membuka pintu rezeki dan sedekah tidak akan menjadikan seseorang itu jatuh miskin tapi harta yang dikeluarkan akan mendapat balasan yang lebih banyak daripada Allah.

    Selaku orang Islam, adalah dianjurkan untuk memanjatkan doa ke hadrat Allah pada setiap masa dan keadaan, sama ada pada waktu susah atau senang sama juga apabila menghadapi masalah atau kesulitan dalam kehidupan.

    Rezeki yang diperolehi itu adalah milik dan Allah yang maha pengasih dan penyayang saja yang berhak mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

    Apa yang penting, katanya, dalam mencari rezeki adalah membetulkan niat dan tujuan untuk menanggung dan mencukupi keperluan diri sendiri dan orang lain yang berada di bawah tanggungannya.

    Sehubungan itu, khatib turut menasihatkan umat Islam agar rajin berusaha dan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan apa juga kurnia dan pemberian Allah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...