Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Jaringan Alba bantu Barcelona

    MADRID, 8 MEI – Barcelona mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan kelmarin apabila jaringan Jordi Alba pada minit ke-94 menentang Real Betis menjamin tempat Catalan dalam kelompok empat teratas La Liga.

    Tendangan voli Alba pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan 2-1 untuk Barca di Benito Villamarin untuk memastikan mereka akan bermain dalam Liga Juara-Juara penggal akan datang, satu pencapaian yang cukup penting bagi menghidupkan semula harapan kelab untuk memulihkan keadaan kewangan mereka.

    Ketika Xavi Hernandez mengambil alih jawatan selaku jurulatih pada bulan November lalu, Barcelona berada di tangga kesembilan dalam La Liga, mencetuskan kebimbangan dan tekanan menyelubungi peluang mereka untuk merapatkan jurang di empat teratas.

    Tetapi, di sebalik kemerosotan prestasi baru-baru ini, peningkatan ketara telah menyaksikan pasukan Xavi berjaya melonjakkan kedudukan teratas dan mereka kini boleh menaruh harapan untuk menyertai semula pasukan seperti Real Madrid dalam saingan utama Eropah musim depan.

    Perbezaan antara bola sepak Liga Juara-Juara dan Liga Europa mungkin bernilai lebih daripada 50 juta euro (AS$52.7 juta) buat Barcelona, ​​yang memulakan musim dengan hutang lebih daripada satu bilion euro, dan terpaksa melepaskan Lionel Messi secara percuma pada musim panas lalu.

    Menamatkan musim tanpa sebarang trofi bukanlah satu kejayaan buat Barca, namun menamatkan saingan di kelompok empat teratas sudah dianggap pencapaian yang cukup baik buat Xavi dan satu kelegaan besar bagi kelab.

    Kemenangan itu meletakkan Barcelona di tangga kedua liga, 11 mata di depan Betis yang menghuni tempat kelima, dengan kedua-dua pasukan mempunyai baki tiga perlawanan musim ini. Barca juga dilihat mampu menamatkan saingan kedudukan di tempat kedua, dengan lima mata mendahului Sevilla yang akan menentang Villarreal hari ini. – AFP

    Reaksi pemain Barcelona, ​​Jordi Alba meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...