Thursday, May 9, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Kanada semak keselamatan TikTok milik China

    OTTAWA, 17 MAC – Kanada sedang menjalankan semakan keselamatan negara terhadap cadangan pengembangan aplikasi video popular TikTok milik China di negara itu, kata Menteri Industri, Francois-Philippe Champagne, Jumaat lalu.

    Dalam telesidang dari Itali selepas bertemu dengan rakan sejawatannya G7, Champagne berkata kajian semula di bawah Akta Pelaburan Kanada telah dimulakan secara senyap pada September 2023.

    “Kami telah melancarkan semakan keselamatan negara terhadap TikTok,” katanya kepada pemberita.

    “Apabila kami telah menyelesaikannya kami akan memaklumkan kepada penduduk Kanada tentang sebarang tindakan yang kami putuskan untuk diambil berkenaan dengan topik tertentu itu,” katanya.

    “Banyak perkara yang akan saya perkatakan apabila semakan kami selesai,” tambah menteri itu tanpa menyatakan tarikhnya.

    Champagne telah mengumumkan pada Mac 2023 pelaburan asing dalam sektor media digital interaktif Kanada akan menghadapi ‘penelitian yang ketat.’

    Mereka yang didapati ‘menyebarkan maklumat salah atau memanipulasi maklumat dengan cara yang memudaratkan keselamatan negara Kanada’ akan menghadapi tindakan pengawalan atau sekatan, menurut kenyataan dasar itu.

    Kajian semula Kanada tidak berkaitan dengan cadangan rang undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang akan memaksa pemilik China untuk menjual atau melihatnya diharamkan di AS. – AFP

    Gambar fail bertarikh 15 Mac menunjukkan logo TikTok bagi Pejabat Los Angeles di Culver City, Los Angeles County, Amerika Syarikat. Berkenaan TikTok Kanada sedang menjalankan semakan keselamatan negara terhadap cadangan pengembangan aplikasi video popular TikTok milik China. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...