Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Kepimpinan ABDB perlu ditingkatkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) tidak boleh bermegah dengan imej luaran semata-mata jika kepimpinan dan penguasaan masih lemah.

    Selain itu, tidak memadai jika keterampilan sahaja yang hebat sedang sebaliknya tersembunyi perangai yang menjengkelkan.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Pendidikan Sekuriti (PPS) di Bolkiah Garison, hari ini.

    Baginda juga bertitah Kementerian Pertahanan dan ABDB merupakan tonggak pertahanan yang memainkan peranan sangat penting dalam memelihara keamanan, kesejahteraan dan keselamatan negara justeru pengurusan yang cekap dan berkesan adalah diperlukan di semua peringkat kepimpinan.

    “Ini tidak boleh berlaku kepada pegawai-pegawai kanan itu tetapi sangat mustahak untuk mereka memiliki integriti yang tinggi, akhlak yang luhur, jujur, adil dan amanah selaku sumber ikutan dan contoh kepada pegawai-pegawai bawahan dalam perkhidmatan angkatan tentera,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan merasmikan Bangunan Baharu PPS di Bolkiah Garison, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada majlis perasmian PPS di Bolkiah Garison, kelmarin.

    Sementara itu, berkenaan dengan peruntukan kewangan bagi tahun kewangan 2022-2023, Baginda bertitah adalah diharapkan supaya semua perancangan yang tersenarai dalam Kertas Putih Pertahanan 2021, Force 2035 dan Force Structure Review (FSR) akan dapat benar-benar direalisasikan mengikut keutamaan dan keperluan.

    “Dengan adanya peruntukan kewangan yang tinggi bagi sesebuah organisasi pertahanan itu akan menampakkannya bertambah hebat tetapi ini sahaja belum cukup melainkan masih sahaja bergantung kepada nilai kepimpinan dan kemampuan para pemimpin jua.”

    Seterusnya Baginda turut mengemukakan beberapa persoalan kepada pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan dan ABDB. Antaranya kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua, pemerintah ABDB, pemangku setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, timbalan setiausaha tetap (Kewangan dan Pentadbiran), timbalan setiausaha tetap (Pembangunan dan Pemeliharaan) dan kepada timbalan setiausaha tetap (Dasar dan strategik).

    Antara persoalan yang dikemukakan oleh Baginda apakah yang dicapai dalam memenuhi visi dan halatuju Kementerian Pertahanan sejak Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua memegang jawatannya.

    Baginda juga ingin penjelasan tentang kekerapan perjumpaan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan (JEP) dibuat dan apakah skop yang dibincangkan serta bagaimana hasil permesyuaratan disalurkan ke peringkat bawahan di Kementerian Pertahanan.

    Selain itu, Baginda ingin tahu bagaimana tugas-tugas rondaan di darat, maritim dan udara dilaksanakan dan apakah yang sudah dirancang untuk mengisi jurang keupayaan di dalam menjaga keselamatan negara serta apakah bentuk postur pertahanan dengan keadaan keupayaan yang ada sekarang.

    “Ada kedengaran atau diketahui anggota tentera terlibat dalam kes-kes jenayah dan kesalahan disiplin dalam perkhemahan dan di luar perkhemahan. Apakah yang sudah dibuat atau difikirkan bagaimana menangani isu ini?” soal Baginda.

    Baginda turut membangkitkan persoalan mengenai sejauh manakah proses perkembangan kerjaya bagi pegawai-pegawai kanan awam Kementerian Pertahanan seperti pengisian jawatan secara tetap, kenaikan pangkat dan kebajikan.

    Baginda turut mengemukakan soalan mengenai perancangan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bagi pembinaan pangkalan baru selain Pangkalan Muara yang ada sekarang memandangkan pembangunan di sekitar pangkalan.

    “Cyber Defence Unit (CDU) dalam ABDB telahpun ditubuhkan pada tahun 2021, Beta ingin tahu sejauh manakah perkembangan CDU setakat ini dalam menyediakan tenaga manusia dan infrastruktur serta apakah peranan CDU dalam persiapan Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) pada tahun ini.

    “Joint Doctrine and Warfare Centre (JDWC) telah pun ditubuhkan pada tahun 2013, Beta ingin tahu sepanjang tempoh tersebut sejauh manakah keberkesanan doktrin berkenaan dalam membantu gerakan bersama,” soal Baginda lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...