Monday, May 6, 2024
26.2 C
Brunei

    -

    Keyakinan kunci kejayaan

    Oleh Raz AS

    Setiap pemancing yang gemar menggunakan umpan tiruan atau lure, masing-masing pasti mempunyai lure kegemaran mereka sendiri. Mungkin dari segi warna, aksi mahupun jenis atau jenamanya.

    Yang pastinya sebab utama seorang pemancing memilih sesuatu lure itu menjadi kegemaran mereka adalah kerana ia memberikan rasa keyakinan kepada si pemancing tersebut.

    Keyakinan ini datang melalui pengalaman, si pemancing pernah menggunakan lure itu, tahu teknik dan cara menggunakannya, tahu bahawa lure itu dapat memikat ikan untuk menyambar dan yang paling penting mempunyai kisah kejayaan menggunakan lure tersebut.

    Percaya atau tidak, keyakinan memainkan peranan penting dalam pemilihan lure. Jika kita ada rasa yakin dalam menggunakan sesuatu lure itu hati dan fikiran kita akan sentiasa dalam keadaan tenang ketika memancing.

    Fikiran yang lapang akan membolehkan kita mengatur strategi dengan lebih baik dan tidak mudah berputus asa meski berdiri terpacak melontar lure seharian.

    Setiap pemancing pasti mempunyai lure kegemaran masing-masing.- Agensi
    Paddle tail merupakan lure yang versatil penggunaannya. – Agensi

    Tetapi jika sebaliknya pula, tidak kira mahal macam mana sekalipun harga lure itu akan ada sahaja rasa tidak kena di dalam hati, baru pun melontar lima ke enam kali sudah mula timbul pelbagai persoalan yang bermain di fikiran.

    Kepala ligat memikirkan tentang perkakas yang digunakan sehingga lupa akan buruan yang ada di dalam air.

    Keberkesanan lure itu mula dipersoalkan, lambat laun akhirnya ia sekadar menjadi perhiasan dalam kotak pancing tidak pernah digunakan lagi.

    Perancangan awal memainkan peranan penting yang boleh membantu si pemancing mendapat kejayaan mahupun rasa seronok ketika memancing.

    Perancangan ini termasuklah dalam aspek pemilihan lure agar mereka sentiasa yakin semasa berada di padang pancing.

    Dalam hal ini, pemancing perlu mempertimbangkan faktor-faktor seperti spesies buruan, lokasi, waktu, musim atau cuaca, kedalaman air dan pelbagai lagi.

    Sesetengah pemancing lebih suka menggunakan search bait, iaitu apa jua jenis lure yang boleh merangkumi lebih banyak kawasan atau sasaran dengan cepat, sesetengah lagi lebih suka menggunakan pendekatan yang lebih halus atau finesse, tidak kiralah yang mana satu yang menjadi pilihan pastinya kedua-duanya akan membuahkan hasil jika digunakan sesuai dengan keadaan.

    Akan tetapi bagaimanakah sekiranya perancangan awal yang dibuat tidak membuahkan hasil atau timbul rasa was-was dengan pendekatan yang harus diambil berikutan keadaan semasa di tempat kita memancing? Di sinilah pentingnya untuk sentiasa mempunyai lure yang versatil penggunaannya tersedia dalam kotak pancing kita.

    Lure ini boleh daripada jenis crankbait atau jerkbait, namun bagi penulis sendiri, lure jenis softplastic atau lebih tepat lagi daripada jenis paddle tail merupakan pilihan utama penulis bagi tujuan tersebut.

    Paddle tail boleh digunakan di pelbagai tahap kedalaman mengikut berat jighead yang digunakan, sesuai untuk aksi laju mahupun perlahan dan boleh dilontar di mana jua sama ada di perairan terbuka mahupun ke kawasan berstruktur. Yang paling penting sekali ia mampu memikat pelbagai spesies daripada besar sehinggalah yang kecil.

    Selalunya penulis akan membuat gulungan perlahan cukup sekadar ekor paddle tail itu dapat bergerak dengan baik, sekiranya kelihatan ikan galak bermain-main penulis akan menggunakan gulungan yang lebih laju, manakala jika keadaan sunyi sepi tanpa sebarang aksi pula penulis akan menggunakan teknik yang lebih halus seperti twitch-stop-go, di mana hujung joran dijentik-jentik dengan halus dan berhenti beberapa saat sambil menggulung lebihan tali yang lanjut, dan mengulangnya lagi sehingga sampai.

    Tidak kiralah apa jua lure yang mampu memberikan keyakinan kepada awda, ketahuilah bahawa lure terbaik adalah lure yang awda sentiasa gunakan dan lure yang tidak akan pernah membuahkan hasil adalah lure yang sentiasa tersimpan di dalam kotak pancing awda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...