Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Kukuhkan pembelajaran Al-Quran di sekolah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Al-Quran tidak diragukan lagi adalah kitab suci dan istimewa, di dalamnya terdapat panduan yang lengkap lagi sempurna.

    “Al-Quran mengandungi jawapan kepada segala persoalan hidup, baik yang berkaitan hubungan antara manusia mahupun dengan Allah,” titah Baginda sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Tema Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini, Al-Quran Pedoman Ku adalah sangat signifikan, apatah lagi dunia sedang menghadapi pelbagai pancaroba yang sangat mencabar.

    “Dengan situasi ini memang wajar menjadikan Al-Quran sebagai sumber utama rujukan dan pedoman dalam kehidupan ini.”

    Baginda yakin jika semua orang tunduk dan berpegang kepada Allah, nescaya dunia ini akan aman sejahtera, kerana itu Brunei Darussalam mesti komited dengan Al-Quran, memperkukuh pembacaan Al-Quran.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 2024, malam tadi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan mesti menguatkan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta, selain sentiasa memantau perkembangan pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah rendah hingga ke peringkat tinggi.

    Baginda dalam titahnya melahirkan hasrat agar semua anak Brunei pandai membaca Al-Quran dengan bertajwid.

    Ke arah itu, khidmat guru-guru adalah diperlukan untuk melutani pengajaran Al-Quran terutama bagi murid-murid di sekolah rendah yang belum berapa lancar membacanya di samping tidak mengabaikan juga pelajar di sekolah menengah.

    Baginda mengambil maklum bahawa KHEU melalui Jabatan Pengajian Islam telah melaksanakan Program Tahsin Qiraatil Quran yang mula diperkenalkan pada 2021.

    Ini adalah rancangan yang bagus untuk meningkatkan kemahiran guru agama dalam pembacaan Al-Quran.

    Selain itu, Baginda turut melahirkan kepercayaan perlaksanaan rancangan berkenaan mampu untuk menghasilkan guru-guru agama yang berkualiti dalam pembacaan Al-Quran.

    Selain itu, Baginda turut mengambil maklum mengenai Program Tadabbur Al-Quran yang diungkayahkan oleh beberapa pihak khususnya agensi-agensi di bawah KHEU dan lain-lain institusi pendidikan di negara ini.

    Titah Baginda lagi, dengan wujudnya pelbagai inisiatif murni berkenaan, kita di Brunei tidak hanya fasih membaca Al-Quran bahkan juga akan dapat memahami maksud Al-Quran dan inilah hasil tadabbur yang diharapkan.

    Baginda turut sangat bersyukur manakala mengetahui bukan sahaja pihak kerajaan, malah juga pihak swasta, agensi tempatan, dan para belia masing-masing mempamerkan kesungguhan turut sama-sama berkecimpung menghayati Al-Quran melalui pusat pengajian termasuk kelas menghalusi bacaan yang mana kelas berkenaan sangat mustahak dan juga berkait rapat dengan pengukuhan amalan beragama.

    “Beta berharap pihak berkenaan akan terus menyokong usaha berkebajikan ini di samping dalam masa yang sama memantau kelas berkenaan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafie.

    “Beta mengajak semua untuk sama-sama memohon ke hadrat Allah supaya ibadat puasa serta apa juga amalan yang berkebajikan dilakukan di bulan Ramadan yang penuh rahmat ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda,” titah Baginda lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...