Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Lebih $400 juta untuk Kementerian Kesihatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sejumlah $418,098,270 telah diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 dengan tema ‘Kesihatan adalah Tanggungjawab Semua’ sejajar dengan tema belanjawan negara iaitu ‘Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur’.

    Peruntukan Kementerian Kesihatan itu telah dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menyampaikan mukadimah pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 8.3 peratus daripada jumlah belanjawan yang diluluskan pada tahun kewangan sebelumnya ini adalah disebabkan perkara-perkara seperti kenaikan harga pasaran ubat-ubatan, kos rawatan yang semakin tinggi dan bertambahnya bilangan pesakit yang memerlukan rawatan.

    “Adalah dijangkakan, perkara-perkara ini akan terus menyumbang kepada peningkatan anggaran keperluan belanjawan Kementerian Kesihatan dari tahun ke tahun,” tambah beliau.

    Yang Berhormat Dato menekankan, dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya, matlamat utama kementeriannya melalui Pelan Strategik 2019-2023 ialah untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit, perlindungan kesihatan awam melalui dasar dan peraturan yang berkesan, kelestarian melalui pengoptimuman sumber dan inovasi, dan urus tadbir yang telus dan proaktif.

    Dengan yang demikian, tambah beliau, cadangan pelaksanaan untuk mencapai arah tuju berkenaan, Kementerian akan memfokuskan kepada enam kluster.

    Fokus pertama adalah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, kedua menilai secara berterusan perkhidmatan yang lebih baik dikendalikan sendiri atau dikendalikan secara penyumberan luar, ketiga meningkatkan saringan kesihatan penduduk bagi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.

    Fokus keempat adalah meningkatkan kemampuan perkhidmatan makmal dengan ujian-ujian makmal yang semakin hari semakin maju dan canggih, kelima meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta seperti dengan kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) melalui Program Penyatuan Fiskal (FCP) dan keenam adalah meningkatkan hasil kerajaan melalui amalan kutipan hasil yang cekap dan memberi kemudahan akses kepada perkhidmatan dan rawatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...