Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    JAPEM hanya untuk ringankan beban

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Bantuan bencana yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bertujuan untuk meringankan beban mangsa dan bukannya untuk mengganti sepenuhnya kerugian atau kehilangan harta yang terbabit dalam bencana seperti kebakaran rumah.

    “Bagi bantuan kejadian kebakaran rumah, kadar bantuan kewangan yang diberikan adalah tertakluk kepada siasatan, penilaian dan pendekatan pihak JAPEM mengikut garis pandu yang berkuat kuasa.”

    Penjelasan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck mengenai pemberian bantuan bencana kebakaran rumah dalam perbahasan MMN yang bersidang di Dewan
    Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa jika rumah terbabit ranap dalam kejadian kebakaran berkenaan, mangsa akan diberikan bantuan kewangan pada kadar ranap iaitu sebanyak $5,000 serta bantuan kesusahan sebanyak $200 bagi setiap mangsa dan penghuni rumah yang terbabit.

    “Jika rumah yang terlibat dalam bencana hanya mengalami kerosakan maka bantuan kewangan yang akan diberikan adalah mengikut peratus kerosakan, contohnya sebahagian peratus daripada jumlah keseluruhan $5,000,” jelasnya.

    Selain daripada bantuan kewangan, jelas Yang Berhormat Dato, bantuan catuan makanan, barang keperluan asas dan bantuan penempatan sementara juga akan disalurkan kepada mangsa bencana.

    Selain pihak JAPEM, terdapat juga agensi-agensi lain seperti lazimnya akan menghulurkan bantuan bencana seperti Majlis Ugama Islam Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Sementara itu, mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Lau How Teck bagi pemilik rumah untuk mempunyai liputan insurans kebakaran rumah, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyokong cadangan berkenaan dan amat digalakkan bagi setiap pemilik rumah untuk mempunyai perlindungan insurans bagi membantu meringankan beban atau musibah yang di luar jangkaan.

    Beliau menyatakan bahawa bagi rumah yang dilindungi insurans, bantuan kewangan tidak akan diberikan kerana pada lazimnya, segala kerugian dan kehilangan akan ditanggung pampasan oleh pihak insurans mengikut jumlah polisi insurans berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...