Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Kurikulum dedah seni budaya Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sedang dalam meneliti dan dalam perancangan untuk menyediakan sebuah akademi yang akan menjadi pusat penggerakan seni budaya dengan tenaga kerja yang profesional, yang membina identiti bangsa yang berdaya tahan.

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) ketika mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan untuk menubuhkan akademi seni budaya bagi memantapkan pembangunan industri kreatif tempatan.

    Akademi itu bertujuan untuk melahirkan penggiat seni budaya dalam melestarikan seni budaya Brunei, tambahnya dalam perbahasan MMN yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Bagi merealisasikan akademi berkenaan, KKBS telah menyediakan satu Buku Kurikulum Akademi Seni Budaya Brusnei sebagai panduan dalam melestarikan seni budaya Brunei untuk memberikan kefahaman tentang budaya dan adat serta memberikan pendedahan ilmu dan kemahiran dalam seni muzik tradisional, seni tari, penulisan kreatif, seni persembahan tradisional dan kontemporari.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut, “Kurikulum ini juga diharap akan menjadi sandaran dan hala tuju bagi pergerakan para belia dan penggiat-penggiat seni yang lain, untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran seni budaya Brunei.”

    Beliau menerangkan bahawa draf modul dalam kurikulum berkenaan telah dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan untuk penelitian di mana bidang seni yang dikenal pasti menjadi keutamaan pada masa ini ialah seni muzik tradisional, seni nyanyian, seni tari tradisional, seni tampak, seni kraf, seni penulisan kreatif serta seni layar dan pelbagai media.

    Kurikulum yang lengkap itu, ulas beliau, akan menjadi panduan melalui beberapa kaedah pembelajaran secara formal yang akan dilaksanakan seperti bengkel jangka pendek, program masterclass dan kursus yang khusus.

    Di samping usaha berkenaan, salah satu strategi yang dilaksanakan dengan serta-merta menjurus kepada aktiviti sosialisasi dan penerapan nilai murni seni budaya adalah promosi dan jerayawara seni budaya serta pengajaran atau pembelajaran seni budaya melalui bengkel, kursus dan taklimat kepada pelajar institusi-institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan belia dan orang ramai.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa bagi program jerayawara, ia sering dilaksanakan oleh kementeriannya dengan menggunakan ruang atau kemudahan di bawah kementerian berkenaan.

    Pada masa yang sama, mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Kokurikulum bagi melatih tenaga pengajar dalam bidang kesenian seperti tarian tradisional Brunei, hadrah dan gulintangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...