Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Lebih 5,000 ditangkap sehari

    MOSCOW, 7 MAC – Rusia menahan lebih 5,000 orang yang membantah serangan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine di puluhan bandar kelmarin, jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini ketika Moscow menyekat sesiapa saja yang menentang serangan tentera Kremlin ke atas negara itu.

    OVD-info, yang memantau tangkapan semasa protes, berkata polis telah menahan sekurang-kurangnya 5,016 orang di 60 bandar semasa protes anti-perang.

    Itu adalah jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam masa sehari dan jauh lebih tinggi daripada tangkapan yang dibuat semasa gelombang protes yang tercetus di negara itu tahun lalu apabila ketua pembangkang, Alexei Navalny dipenjarakan.

    Navalny telah menyeru rakyat Rusia untuk membantah perang dalam rayuan dari sel penjaranya. Penunjuk perasaan berisiko dijatuhkan hukuman penjara jika mengadakan bantahan di jalan-jalan.

    OVD-info berkata 2,394 telah ditangkap di Moscow.

    Rusia menahan lebih 5,000 orang dalam sehari kerana membantah serangan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine di puluhan bandar. – AP

    Manakala, Saint Petersburg menyaksikan sekurang-kurangnya 1,253 tangkapan, kata pemantau itu.

    Aktiviti protes juga berlaku di bandar-bandar kecil di wilayah Rusia.

    OVD-info berkata polis telah menggunakan kejutan elektrik pada penunjuk perasaan.

    Protes anti-perang di Rusia berterusan walaupun diberi amaran daripada pihak berkuasa dan risiko hukuman penjara.

    Putin baru-baru ini menandatangani rang undang-undang yang memperkenalkan hukuman penjara sehingga 15 tahun untuk berita palsu tentang tentera Rusia.

    Oleh itu, rang undang-undang tersebut menetapkan hukuman penjara yang berbeza-beza panjang dan denda terhadap orang yang menerbitkan “maklumat palsu yang disedari” tentang tentera, dengan hukuman yang lebih keras akan dikenakan apabila penyebaran dianggap membawa akibat yang serius. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...