Thursday, May 9, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Lelaki tempatan dipenjara gara-gara acu senjata

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dijatuhi hukuman penjara satu tahun empat bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, kelmarin, atas tuduhan menyerang dan memiliki senjata.

    Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid tidak menjatuhkan hukuman sebat terhadap Aili Iskandar bin Haji Alias kerana sudah melebihi had umur.

    Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mendedahkan bahawa pada 22 Mac, kira-kira 9 malam, defendan memandu ke Bangunan Haji Taha, Lumut, untuk pergi ke kedai jahit. Apabila tiba, dia melihat seorang wanita Filipina bersama beberapa orang yang lain sedang memberi makan anjing liar.

    Melihat perkara itu, defendan memberhentikan keretanya dan memberitahu mereka supaya tidak memberi makan anjing liar tersebut tetapi wanita itu membalas percakapan defendan hingga menimbulkan kemarahannya.

    Selepas itu, defendan turun dari keretanya dan mengambil parang di bonet kereta dan mengacukannya kepada wanita berkenaan. Dia kemudian menyimpan semula parang tersebut ke dalam bonet keretanya.

    Gambar Freepik

    Bagaimanapun, wanita tersebut masih membalas cakap defendan ketika itu. Dengan rasa marah, defendan kemudian mengambil payung dari bonet keretanya dan menghalakannya ke arah wanita itu semula. Pada ketika itu, defendan memberi amaran kepada wanita itu bahawa dia akan melaporkan perkara berkenaan kepada ketua kampung dan pihak polis.

    Dia kemudiannya meninggalkan tempat kejadian.

    Ketika itu, wanita berkenaan segera menghubungi rakannya dan memaklumkan kejadian tersebut. Dia turut berkongsi rakaman video yang dirakamnya menunjukkan defendan mengacukan parang dan payung ke arahnya. Apabila mendengar dan melihat video tersebut, rakan wanita itu terus menghubungi 993 untuk membuat laporan polis.

    Tidak lama kemudian, semasa wanita itu masih menjaga anjing liar berkenaan, defendan bersama ketua kampung dan beberapa orang lain datang.

    Defendan memberitahu mereka bahawa wanita itu memberi makan anjing liar dan enggan mendengarnya. Kerana bimbang keadaan akan bertambah buruk, kedua-dua defendan dan wanita itu diarahkan ke balai polis untuk siasatan, yang seterusnya membawa kepada kes mahkamah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...