Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Mahkamah di Sabah, S’wak pertingkat digitalisasi

    KOTA KINABALU, 21 JAN – Mahkamah di Sabah dan Sarawak akan meneruskan usaha mempertingkat digitilisasi dengan beberapa inisiatif untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

    Beliau berkata antara inisiatif itu ialah menaik taraf Sistem Mahkamah Bersepadu (ICS) kepada e-Kehakiman Sabah Sarawak (eKSS) dan projek itu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tempoh tiga tahun bermula Ogos 2020.

    Abang Iskandar berkata projek eKSS merangkumi beberapa ciri utama iaitu pembangunan semula ICS, penggunaan perkakasan dan perisian baharu, pengintegrasian dengan e-Mahkamah di Semenanjung dan sistem lain, pemasangan pautan video di Jabatan Penjara serta pemindahan data.

    “Sistem sidang video yang digunakan sejak 2007 telah dinaik taraf dan fasiliti serupa kini terdapat di 11 lokasi penjara di seluruh Sabah dan Sarawak manakala prosiding reman dikendalikan secara jarak jauh melalui sidang video,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian semasa Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini yang turut dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

    Abang Iskandar berkata peningkatan digital lain ialah Sistem Kecerdasan Buatan (AI) yang telah dilaksana melalui satu projek rintis tahun lepas dan kini dinamakan semula sebagai Kecerdasan Buatan dalam Jatuh Hukum Mahkamah (AiCOS).

    Beliau berkata AiCOS akan diperluas bagi meliputi kesalahan di bawwah Seksyen 380 Kanun Keseksaan manakala sistem AI lain bagi Tuntutan Kecederaan Peribadi juga sedang dibangunkan dan kedua-duanya dijadualkan dilancarkan tahun ini.

    Katanya, bagi mahkamah yang memerlukan penambahbaikan secara besar-besaran atau kecil-kecilan akan dibaikpulih tidak lama lagi termasuk mahkamah di Beaufort, Keningau, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau di Sabah serta Kuching, Bintulu, Miri, Sibu, Sarikei dan Kota Samarahan di Sarawak.

    Abang Iskandar juga berkata Mahkamah Tinggi di Sabah telah melupuskan sejumlah 4,590 daripada 6,961 kes pada tahun lepas manakala di Sarawak, sebanyak 2,423 daripada 3,155 kes berjaya dilupuskan.

    Beliau berkata Mahkamah Sesyen di Sabah pula melupuskan sejumlah 1,515 daripada 2,283 kes manakala di Sarawak, sebanyak 1,635 daripada 2,531 kes berjaya dilupuskan.

    Katanya bagi Mahkamah Majistret, Sabah melupuskan sejumlah 7,509 kes sivil daripada 10,080 kes manakala Sarawak melupuskan 4,807 kes sivil daripada 6,252 kes. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...