Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    MPPUTB pilih presiden baharu bagi sesi 2022/2023

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Dayang Ummi Salmah binti Haji Mohd Firdaus telah diumumkan sebagai presiden baharu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Brunei (MPPUTB) bagi sesi 2022/2023 semasa majlis pemilihan presiden yang berlangsung di Dewan Serbaguna UTB, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis anjuran MPPUTB dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTB itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan pembentangan daripada tiga calon yang telah tersenarai terdiri daripada Awang Mohammad Umair Wafri @ Mohammad Iliya bin Haji Noor Ahsffian, Awang Muhammad Khairi bin Haji Jefri dan Dayang Ummi Salmah.

    Mereka diberi masa tujuh minit untuk membentangkan tajuk yang disediakan, ‘Impak COVID-19 kepada Pelajar’ diikuti sesi soal jawab lima minit setiap seorang.

    Majlis pemilihan berkenaan juga dapat disaksikan secara langsung dalam talian melalui Instagram rasmi UTB di mana warga universiti berkenaan mengundi melalui kod QR yang dikongsi pada majlis tersebut. Dengan memperolehi 89 peratus undian, Dayang Ummi Salmah diumumkan sebagai presiden baharu.

    Semasa berucap mengenai kemenangannya, Dayang Ummi Salmah menyatakan bahawa dengan amanah yang diberikan ini, beliau akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, belajar dan terus bekerjasama dengan semua orang dan berharap tahun ini akan menjadi tahun yang sangat baik untuk semua di universiti tersebut.

    Dayang Ummi Salmah diumumkan sebagai presiden baharu MPPUTB bagi sesi 2022/2023 semasa majlis pemilihan presiden yang berlangsung di Dewan Serbaguna UTB. – Gambar serahan UTB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...