Thursday, May 9, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Najib miliki kuasa penuh dalam SRC

    KUALA LUMPUR, 26 MAC – Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa penuh untuk membuat semua keputusan dalam SRC, termasuk penggunaan dan pengagihan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

    Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata semua keputusan penting melibatkan jumlah wang yang besar itu dibuat oleh Najib kerana beliau adalah Menteri Kewangan ketika itu, yang mempunyai kawalan muktamad ke atas SRC melalui Menteri Kewangan Diperbadankan.

    “Sebagai seorang pengarah semata-mata, dan hanya seorang daripada ramai pengarah dalam lembaga pengarah, saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkenaan dengan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP itu.

    “Saya juga diwajibkan di bawah undang-undang dan secara amalan untuk mematuhi dan melaksanakan arahan Datuk Seri Najib,” katanya dalam kenyataan saksinya dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap bekas perdana menteri dan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil, yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

    Sementara itu, Shahrol Azral dinamakan sebagai responden pihak ketiga bersama bekas pengarah lain iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar. 

    Shahrol Azral berkata, memandangkan KWAP adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan, ia dikehendaki melaporkan terus kepada Menteri Kewangan. “Datuk Seri Najib adalah Menteri Kewangan pada masa itu dan beliau adalah orang yang meluluskan permohonan SRC untuk pinjaman KWAP sama ada secara sendiri atau melalui arahannya kepada panel pelaburan KWAP.”

    “Berhubung syarat KWAP bahawa jaminan kerajaan diberikan untuk pinjaman itu, atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat kabinet dengan semua menteri kabinet dilantik mengikut prerogatifnya, Datuk Seri Najib juga telah menyebabkan kabinet meluluskan dan keluarkan jaminan kerajaan untuk pinjaman KWAP,” katanya sambil menambah Najib turut mempercepatkan pengeluaran pinjaman RM4 bilion kepada SRC. – Bernama

    Gambar menunjukkan Najib (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi pada 14 Mac untuk sebutan kes berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...