Thursday, May 9, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Pelbagai kesalahan dikesan dalam Ops Siaga

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Pelbagai kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 telah dikesan dilakukan oleh majikan dalam dua Operasi Siaga yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh bagi menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi, baru-baru ini.

    Dalam Operasi Siaga 58/2024 yang dijalankan pada 21 Mac lalu di kawasan Kampung Kianggeh, tiga kesalahan dikesan dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 70, gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 64 gagal memberikan cuti rehat dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana pekerja asing yang berjawatan sebagai technician didapati melakukan pekerjaan sebagai pembersih.

    Manakala itu, Operasi Siaga 57/2024 pada 16 Mac lalu yang menumpukan kawasan Kampung Masin telah mendapati empat ke-salahan iaitu di bawah Bab 10, majikan gagal menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 44 membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan dan Bab 112(2) di mana pekerja berjawatan supervisor dan general labour melakukan kerja-kerja mengeluarkan invoice.

    Jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan, bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut, dan jika gagal membayarnya, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Selain itu majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    ATAS & BAWAH: Pegawai penguat kuasa undang-undang menjalankan pemeriksaan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...