Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    PM Malaysia bakal guna beg fail songket Sarawak

    PUTRAJAYA, 23 FEB – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan beg fail dengan corak tenunan songket Sarawak untuk membawa dokumen Belanjawan 2023 yang akan dibentang di Parlimen esok.

    Beg berwarna hitam itu dipamerkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, ketika beliau meluangkan masa meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

    Anwar, yang tiba pada kira-kira 3:30 petang, disambut oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican.

    Semasa tinjauan kira-kira 30 minit itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan kakitangan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2023 di Dewan Galeri di lobi Kementerian Kewangan sebelum melawat Bilik Operasi Cukai dan Bilik Operasi Belanjawan 2023 di Aras 10 serta menandatangani dokumen berkaitan.

    Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa dan pada masa sama, memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik pelaburan.

    Katanya kerajaan juga mengambil kira daya saing negara, kepantasan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan penggunaan mampan selain pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran dalam Belanjawan 2023.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 4 petang esok di Parlimen. – Bernama

    Anwar memasukkan dokumen Belanjawan 2023 ke dalam beg ketika hadir meninjau persiapan penyediaan Belanjawan 2023 bertema Malaysia MADANI di Kementerian Kewangan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...