Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Siri persahabatan uji tahap keupayaan Malaysian Tigers

    KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Lima perlawanan persahabatan bakal ditempuh skuad hoki lelaki kebangsaan Malaysia menentang Australia di Perth dari 21 hingga 28 April ini, dapat menguji tahap keupayaan pemain untuk mengadaptasi atau menyaingi corak permainan pantas pasukan nombor satu dunia tersebut.

    Ketua jurulatih hoki kebangsaan, A Arul Selvaraj berkata keputusan mengatur siri persahabatan bersama skuad ‘Kookaburras’ itu juga amat tepat bagi mempersiapkan pasukan Malaysian Tigers mengharungi kempen Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta, Indonesia dari 23 Mei hingga 1 Jun.

    “Saya mahu lihat Australia menguji pemain kita daripada segi mentaliti bermain laju sebab pemain kita laju di kaki tapi pasukan Australia paling pantas di ‘kepala’.

    “Jadi, kita mahu mereka uji pemain kita supaya dapat berfikir serta buat keputusan secara pantas ketika beraksi di padang, itu misi utama (siri persahabatan di Australia),” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa sidang media pada majlis berbuka puasa bersama skuad hoki kebangsaan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam.

    Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata siri persahabatan di Australia juga akan dijadikan platform untuk membantu pemain menyesuaikan diri dengan jadual padat Kejohanan Hoki Piala Asia selepas mereka bakal turun beraksi sebanyak lima kali dalam masa seminggu di Perth.

    Jelasnya, ini kerana Malaysia boleh beraksi sehingga tujuh perlawanan dalam masa 10 hari sekiranya mara lebih jauh dalam kejohanan di Indonesia itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...