Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Skuad B-19 Brunei tewas tipis di tangan Thailand

    Oleh Fadhil Yunus

    BEKASI, INDONESIA, 8 JULAI – Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) Brunei Darussalam tewas dengan jaringan 2-0 kepada Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Kejohanan Lelaki B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Patriot Candrabhanga di Bekasi, Indonesia hari ini.

    Sebahagian besar perlawanan berlangsung tanpa jaringan di separuh masa pertama sehingga Kroekphon Arbram memecah kebuntuan di ambang babak pertama.

    Walau bagaimanapun, Skuad Tabuan Muda tetap mempamerkan aksi terbaik mereka untuk bertahan walaupun pemain gantian, Winai Aimoat diturunkan dari bangku simpanan bagi menggandakan pendahuluan pasukannya pada minit ke-60.

    Keputusan tersebut bermakna Brunei kini menduduki tangga tercorot selepas tewas empat kali berturut-turut dalam pertemuan serantau itu.

    Terdahulu, skuad kebangsaan B-19 memulakan peringkat kumpulan dengan kekalahan 7-0 kepada Myanmar sebelum mereka mengalami satu lagi kekalahan mengejutkan dengan jaringan yang sama menentang tuan rumah, Indonesia.

    Sementara itu, anak buah jurulatih B-19 kebangsaan, Faizalani Abdul Ghani turut tumpas dengan empat gol tanpa balas kepada Vietnam dalam perlawanan kumpulan ketiga mereka.

    Namun begitu, pada aksi semalam, pemain muda Brunei tetap bersemangat meneruskan saingan dengan memberikan tantangan sengit menentang pasukan diminati ramai, Thailand.

    Skuad Tabuan Muda, yang masih belum mencatatkan satu gol dan masih mencari kemenangan, akan menamatkan kempen mereka menentang Filipina esok di Stadium Patriot Candrabhanga.

    Di samping itu, pasukan B-19 Brunei juga berharap agar dapat mengulangi keputusan yang sama semasa pertemuan AFF sebelum ini pada 2017 apabila mereka mencatat kemenangan 3-2 susulan jaringan daripada Mateen, Asyraffahmi dan Wadud.

    Sementara itu, dalam perlawanan kumpulan yang lain, Vietnam menewaskan Myanmar 3-1, sekali gus mengesahkan penyingkiran Myanmar daripada pertandingan tersebut.

    Sebahagian daripada aksi yang dipamerkan semasa perlawanan di antara Skuad B-19 Brunei menentang Skuad B-19 Thailand kelmarin. – Gambar serahan AFF
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...