Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Spectrum 2024 rungkai karya inovatif tanpa batas

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Setiap karya seni mengandungi cerita tersendiri yang ingin disampaikan oleh penciptanya, menyimpulkan makna mendalam daripada setiap lukisan atau arca. Mungkin sebuah karya itu berinspirasi daripada sebuah sejarah, kebudayaan, kisah silam, kenangan terindah, alam sekitar dan sebagainya.
     
    Begitulah ‘aura’ yang dirasai setibanya penulis melangkah ke ruang Pameran Spectrum 2024: Unveil yang membuka tirainya di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini. 
     
    Pameran Spectrum merupakan pameran tamat pengajian tahunan yang diketengahkan oleh para pelajar tahun akhir Design and Creative Industries (DCI), UBD sekali gus menjadi sebuah platform kreatif yang membolehkan mereka untuk mempamerkan hasil pengajian yang dilalui sepanjang program empat tahun dari segi keusahawanan kreatif, rekaan, media, teknologi inovasi dan pengurusan perniagaan.
     
    LEBIH 50 PROJEK SENI HIASI RUANG PAMERAN 
     
    Menariknya, majlis pembukaan pameran tersebut telah menampilkan lebih daripada 54 karya seni yang mempamerkan inovasi dalam seni, arca, rekaan produk, pembangunan permainan, teknologi dan seni digital, serta media dan filem.
     
    Pameran itu, yang berlangsung selama sebulan hingga 17 Mei, dibukakan untuk kunjungan umum dari Selasa hingga Ahad, mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang, dan pada hari Jumaat dari pukul 2 petang hingga 6 petang. 
    ATAS & BAWAH: Sebuah karya berjudul What a Waste karya Awang Haziq yang ditampilkan pada pameran tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sebuah projek berasaskan gabungan fesyen dan lukisan berjudul Kid Art oleh Awang Faiz menerusi ciptaan pakaian santai berlengan pendek yang dihiasi dengan paparan dua jalan cerita. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang ‘Atika menjelaskan rekaan projeknya yang berteraskan sebuah permainan interaktif bertajuk The Kueh, pada pameran tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Awang Fuad turut berjaya menghasilkan satu projek berjudul 3D Printed Zoetrope. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Ini memberikan peluang kepada masyarakat umum untuk menghargai dan menginspirasi kreativiti yang ditampilkan oleh para pelajar UBD.
     
    DI SEBALIK KARYA SENI JAHITAN 
     
    Dengan mempersembahkan sentuhan projek cantuman potongan pakaian terpakai, dijahit dan ditampal lalu dicelup menggunakan ekstrak semula jadi daripada serbuk kopi terpakai demi menyeleraskan keseimbangan warna sehingga terhasilnya sebuah karya berjudul What a Waste.
     
    Menyentuh mengenai mesej yang terselit pada karya projek berkenaan, Awang Haziq Sofian apabila berkesempatan ditemui penulis berkata apa yang ingin disampaikan lebih kepada kesedaran orang ramai agar berusaha mengurangkan pembelian pakaian secara berlebihan  dalam sama-sama berusaha mengelak daripada kesan negatif terhadap isu trend fesyen pantas (fast fashion) demi sama-sama memelihara alam sekitar. 
     
    Di samping menitikberatkan mesej utama berkenaan, beliau juga menerapkan gaya jahitan kesenian Jepun yang bersejarah, ‘Boro’ dan ‘Sashiko’ bagi menciptakan lagi satu keunikan hasil projek yang diketengakan bagi santapan mata dan jiwa para pengunjung. 
     
    KARYA BUSANA KENANG NOSTALGIA KANAK-KANAK
     
    Dengan memilih sebuah projek berasaskan gabungan fesyen dan lukisan berjudul Kid Art, itulah antara salah satu sentuhan produk seni yang boleh dipakai (wearable art) oleh Awang Faiz Juni menerusi ciptaan pakaian santai berlengan pendek yang dihiasi dengan paparan dua jalan cerita iaitu kanak-kanak bermain kikik di Kampong Ayer dan juga kanak-kanak bermain carah di halaman rumah. 
     
    Menggunakan teknologi digital untuk merangka dan melukis, Awang Faiz menghindari kanvas tradisional dan memilih untuk mencetak lukisannya langsung ke atas kain menggunakan teknik oil painting yang kemudian dijahit menjadi busana yang dapat diguna pakai oleh sesiapa sahaja. Inisiatif itu bukan hanya menampilkan kreativiti tetapi juga inovasi dalam penggunaan medium seni.
     
    “Di samping karya busana yang memiliki jalan cerita yang tersendiri, apa yang menjadi harapan saya setelah menamatkan pengajian nanti untuk lebih meneruskan karya-karya sebegini dengan tema-tema lain untuk menceburi bidang keusahawanan secara kecil-kecilan,” ujarnya.  
     
    PERMAINAN INTERAKTIF KENALI JENIS KUIH
     
    Dengan mengetengahkan rekaan projek berteraskan sebuah permainan interaktif bertajuk The Kueh, Dayang ‘Atika Bahrom menjelaskan menerusi permainan video berkenaan pemain dapat menyelami kuih-muih tradisional dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, dan Indonesia. 
     
    “Teknik permainannya begitu mudah namun amat menarik di mana pemain mesti menggabungkan kuih-muih yang sama untuk mara ke peringkat seterusnya dan penerokaan baharu. Projek ini bukan sekadar permainan video semata-mata bahkan ia turut bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada kita semua pentingnya untuk terus memartabatkan warisan budaya yang negara kita miliki,” jelas Dayang ‘Atika. 
     
    MENGHIDUPKAN 3D SI KUCING OYEN 
     
    Terinspirasi dengan kecintaannya terhadap animasi, Awang Fuad Danny turut berjaya menghasilkan satu projek berjudul 3D Printed Zoetrope yang mana sebuah projek menghidupkan tingkah laku nakal seekor ginger cat, yang lebih dikenali sebagai Si Kucing Oyen. 
     
    “Saya suka animasi. Animasi 3D sentiasa menjadi minat saya tetapi melihat melalui skrin tidak pernah cukup untuk saya. 3D Printed Zoetrope  adalah jawapan yang saya cari dalam menghidupkan projek animasi kreatif saya,” kongsinya di akhir pertemuan bersama Media Permata
     
    Oleh yang demikian, dengan menyaksikan kesungguhan para pelajar yang terlibat maka bertepatanlah dengan tema pameran berkenaan di mana Unveil bukan sahaja mempamerkan kreativiti tanpa batas para pelajar tetapi ia juga merupakan bukti pertumbuhan, perjalanan dan potensi mereka. 
     
    Ia juga merupakan sebagai permulaan perjalanan mereka memasuki industri kreatif yang lebih meluas di Brunei di mana bakat mereka dapat dikembangkan serta diserlahkan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...