Wednesday, May 8, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Stesen angkasa tidak terjejas oleh perang Rusia – NASA

    WASHINGTON, 15 MAC – NASA kelmarin menegaskan ketegangan yang dikaitkan dengan perang di Ukraine tidak memberi kesan ke atas operasi Stesen Angkasa Antarabangsa atau rancangan pulangan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) di atas kapsul Rusia akhir bulan ini.

    Mark Vande Hei dijangka terbang ke Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan menaiki kapsul Soyuz Rusia bersama angkasawan, Pyotr Dubrov dan Anton Shkaplerov pada 30 Mac selepas 355 hari berada di angkasa, rekod baharu AS.

    Namun terdapat kebimbangan bahawa ketegangan yang memuncak antara AS dan Rusia berhubung Ukraine boleh menyebabkan lelaki berusia 55 tahun itu terkandas di pos luar.

    Tetapi bercakap kepada pemberita kelmarin, Joel Montalbano, pengurus program ISS NASA, berkata, “Saya boleh memberitahu awda dengan pasti Mark akan pulang ke rumah dengan Soyuz itu. Kami sedang berkomunikasi dengan rakan sekerja Rusia kami. Tidak ada kekeliruan mengenainya. Ketiga-tiga anak kapal itu akan pulang.”

    “Terdapat beberapa perbincangan mengenai perkara itu, tetapi saya boleh memberitahu awda bahawa kami sudah bersedia. Rakan sekerja, Roscosmos kami telah mengesahkan bahawa mereka bersedia untuk membawa pulang seluruh anak kapal, ketiga-tiga mereka,” sambungnya.

    Pada hujung minggu, ketua agensi angkasa Rusia, Dmitry Rogozin memberi amaran sekali lagi bahawa sekatan Barat ke atas Rusia boleh menyebabkan ISS terhempas, dengan mengganggu operasi kapal angkasa yang penting untuk mengekalkan platform di orbit. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...