Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Taklimat perkenalkan program FLP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Universiti Brunei Darussalam School of Business and Economics (UBDSBE) melakar satu mercu tanda yang penting apabila menjadi institusi pendidikan pertama di Negara Brunei Darussalam untuk menyediakan platform bagi Program Kepimpinan Kewangan (FLP) yang ditawarkan oleh Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

    Kolaborasi antara UBDSBE dan CIMA itu merupakan bukti sokongan sekolah perniagaan berkenaan kepada komitmen UBD dalam meningkatkan penglibatan universiti-industri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, sepasukan pegawai yang diketuai oleh seorang pakar dari CIMA, Dayang Naidatul Afiqah telah menyampaikan taklimat kepada pelajar-pelajar UBD yang berlangsung di Dewan Kuliah, Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Taklimat itu memberikan para pelajar peluang untuk mengenali mengenai FLP termasuk pendaftaran, peperiksaan dan kaedah pembelajaran dalam talian serta sumber yang disediakan bagi para pelajar yang berminat mengambil bahagian dalam program berkenaan.

    Di samping itu, taklimat juga memperkenalkan manfaat dan peluang yang sedia ada bagi pemegang kelayakan profesional berkenaan.

    Dayang Naidatul Afiqah bergambar bersama kakitangan UBD pada taklimat yang berlangsung di Dewan Kuliah, Dewan Canselor UBD, kelmarin. – Gambar serahan UBD

    Program FLP merupakan kaedah pembelajaran dalam talian dan digital sepenuhnya bagi kelayakan profesional Chartered Global Management Accountant (CGMA) dan mendapatkan status CGMA.

    CGMA merupakan jawatan perakaunan pengurusan yang paling meluas dipegang di dunia dengan lebih 137,000 orang yang dilantik.

    Ia telah ditubuhkan pada 2012 oleh AICPA dan CIMA untuk mengiktiraf kumpulan akauntan pengurusan yang unik serta yang telah mencapai tanda aras kompeten dan kualiti yang tertinggi.

    Jawatan CGMA itu dibina atas penyelidikan global yang ekstensif untuk mengekalkan hubungan tertinggi dengan majikan dan membangunkan kompetensi yang paling dikehendaki.

    Pemegang jawatan CGMA mendapat kelayakan berkenaan melalui pendidikan, peperiksaan dan keperluan pengalaman yang ketat.

    Program FLP mempunyai kesemua yang diperlukan oleh seorang calon untuk mempelajari kelayakan profesional CGMA. Semua pembelajaran, penilaian dan persediaan peperiksaan Kajian Kes dilaksanakan dalam platform berkenaan dan langganan calon berkenaan adalah termasuk keahlian dan pendaftaran CIMA, peperiksaan kemasukan dan Kursus Kajian Kes penuh.

    Para calon akan belajar melalui tiga peringkat dengan ilmu pengetahuan mereka diuji melalui penilaian berterusan dan bukan melalui ujian objektif. Ia bermakna bahawa terdapat jumlah peperiksaan yang kurang bagi FLP berbanding dengan laluan yang lain.

    Maklum balas daripada pelajar-pelajar UBD mengenai taklimat itu adalah amat menggalakkan dengan sebilangan besar pelajar menunjukkan minat mendalam pada FLP khususnya pelajar-pelajar dalam bidang perakaunan dan kewangan.

    Hasil daripada maklum balas yang positif berkenaan, UBDSBE dan CIMA sedang membuat persiapan untuk mengadakan siri seminar FLP kepada pelajar-pelajar yang berminat termasuk menjadikan UBDSBE sebagai hab bagi FLP di Negara Brunei Darussalam supaya kelayakan berkenaan dapat diakses oleh calon-calon dari institusi lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...