Wednesday, May 22, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Taman tema Super Mario AS pertama akan dibuka

    LOS ANGELES – Taman tema pertama Nintendo di luar Jepun akan dibuka di California bulan depan, hanya beberapa minggu sebelum Mario membuat tayangan dalam filem utama Hollywood baharu.

    Super Nintendo World akan menjadi sebahagian daripada taman hiburan Universal Studios Hollywood, yang secara tradisinya menempatkan permainan berdasarkan filem dan TV daripada ‘Waterworld’ hingga ‘Harry Potter’.

    Tetapi dengan industri permainan video yang kini mengatasi industri perfileman, dan taman tema menggunakan teknologi yang semakin interaktif untuk menarik perhatian pengunjung, kedua-dua syarikat telah bergabung tenaga untuk memanfaatkan populariti watak permainan video tukang paip itu.

    Tarikan Nintendo yang baharu ini sebahagian besarnya akan menyamai reka bentuk taman tema yang baru dibuka, yang lebih besar di Osaka, termasuk permainan ‘Mario Kart: Cabaran Bowser’ yang menggunakan cermin mata realiti.

    Pelawat boleh berlumba di sepanjang trek permainan, yang dikelilingi oleh set sebenar, tetapi boleh menembak ke arah penjahat yang dihasilkan oleh komputer, yang mereka paparkan pada visor yang dipasang di kepala pemain.

    Taman tema Super Mario bakal dibuka di AS.- AFP
    Patung Bowser dilihat di pintu masuk tunggangan Mario Kart.- AFP

    Terdapat juga beberapa permainan mini di mana pelawat menggunakan gelang tangan interaktif yang boleh mengumpul syiling dan setem, untuk melayakkan diri dalam ‘pertarungan akhir’ dengan Bowser Jr, watak yang jahat.

    “Ia adalah sebuah taman permainan yang terbaik,” kata Jon Corfino, naib presiden Universal Creative.

    “Kami terkenal dengan francais filem kami yang hebat, dan ia sangat mengasyikkan.

    “Bagaimana kami terlibat dengan bidang hiburan adalah disebabkan sifatnya yang sentiasa berkembang dan tidak statik.”

    Peminat Nintendo mula berpusu-pusu ke taman hiburan tersebut di Los Angeles, di mana berita cepat tersebar minggu lalu bahawa tarikan baharu itu menerima pelawat untuk percubaan pra pembukaan untuk mengenal pasti jika terdapat sebarang gangguan teknikal sebelum ia dirasmikan.

    “Berada di sini, ia seperti zaman kanak-kanak saya dalam kehidupan sebenar,” kata Carlos Moctezuma, yang memakai kostum Mario ke taman itu.

    “Saya mengenali Mario sejak darjah dua. Itu adalah salah satu permainan pertama saya di Game Boy,” kata pasangannya Lexsi Houseman, berpakaian seperti Luigi.

    “Ia adalah seperti impian yang menjadi kenyataan,” tambahnya.

    Pelancaran rasmi Super Nintendo World ditetapkan pada 17 Februari, apabila pelawat yang dikelilingi oleh watak-watak dari permainan tersebut iaitu Yoshis, Piranha Plants dan Goombas. Mereka juga akan disambut oleh watak utama seperti Mario, Luigi dan Princess Peach.

    Taman tema Nintendo ketiga akan menyusul di Orlando.

    Sementara itu, Universal Pictures, studio filem Hollywood yang berkongsi dengan taman tema itu, akan mengeluarkan ‘The Super Mario Bros. Movie’ bulan April.

    Filem itu menampilkan pelakon AS, Chris Pratt sebagai suara tukang paip Itali Mario, pilihan pelakon yang telah mencetuskan kontroversi dan kritikan di media sosial, tetapi hanya menarik lebih perhatian kepada filem penuh nostalgia itu.

    Pelakon suara yang turut membintangi termasuk Anya Taylor-Joy sebagai Princess Peach, Jack Black sebagai Bowser, dan Seth Rogen sebagai Donkey Kong.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...