Wednesday, May 22, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Tempoh kutipan tabung kemanusiaan dilanjutkan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin memaklumkan bahawa tempoh kutipan tabung berkenaan telah dilanjutkan selama tiga bulan sehingga 18 Julai bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan derma kepada rakyat Palestin di Gaza.

    Setakat 3 April, hasil kutipan tabung adalah sebanyak $3,264,885.78 dan sejumlah $1,399,545 telah digunakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin secara air-drop dalam bentuk paket makanan yang siap sedia untuk dimakan. Oleh itu, baki tabung setakat 3 April adalah sebanyak $1,865,340.78.

    Jumlah kutipan terkumpul ini adalah hasil sumbangan daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui SMS Brunei Prihatin; peti-peti tabung yang diletakkan di masjid, surau dan balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam dan kerajaan; serta aktiviti-aktiviti amal.

    Pelanjutan tempoh kutipan kali kedua ini adalah atas menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mengambil kira situasi dan pertempuran yang berlaku di Gaza semakin me-ningkat dan rakyat mengalami kebuluran dan malapetaka, maka bantuan kemanusiaan masih sangat diperlukan.

    Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai platform bagi orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan bagi membantu meringankan beban serta penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza.

    Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih disumbangkan kepada tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja daripada hasil kutipan bersih yang diperoleh dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

    GAMBAR SERAHAN JAPEM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...