KUALA LUMPUR, 14 MAC – Skuad Speedy Tigers mendapat tonik berharga bagi menghadapi beberapa kejohanan utama apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik pakar dari England, Tom Drowley, sebagai jurulatih kecergasan.
Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki Malaysia, A. Arul Selvaraj percaya kepakaran dimiliki Drowley mampu meningkatkan prestasi dan kecergasan anak buahnya kepada tahap optimum untuk memberi tentangan hebat, terutama dalam aksi Sukan Asia 2022 dan Piala Dunia 2023.
Katanya, kecergasan merupakan masalah utama pada setiap kejohanan dan walaupun pasukan Malaysia mempunyai pemain berbakat, mereka sering kekurangan dalam aspek tersebut.
“Apa yang saya mahukan hanya dua iaitu tempoh pemulihan dan kekuatan serta kuasa mereka. Jika kami dapat menyelesaikan dua perkara ini, saya rasa kami sudah bersedia untuk bertanding,” katanya.
Arul berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan kontrak jurulatih kecergasan serta kerjasama dengan syarikat kecergasan Celebrity Fitness sebagai rakan rasmi pasukan hoki lelaki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. – Bernama