Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Toyota tingkatkan penghasilan bateri EV di AS, Jepun

    TOKYO, 31 OGOS – Toyota hari ini berkata ia akan meningkatkan penghasilan bateri untuk kenderaan elektrik (EV) di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) menerusi pelaburan yang mencecah AS$5.3 bilion.

    Sebahagian daripada pelaburan itu termasuk dalam belanjawan besar untuk pembangunan dan penghasilan bateri automotif yang diumumkan oleh syarikat gergasi Jepun pada Disember tahun lalu, kata seorang jurucakap kepada AFP.

    Pengeluar kereta itu mempercepatkan peralihan kepada EV ketika tekanan semakin memuncak daripada pihak kerajaan untuk beralih daripada kereta menggunakan enjin pembakaran, dan juga hasil kejayaan Tesla yang dimiliki oleh Elon Musk.

    Toyota merupakan pengeluar kereta paling laku di dunia, dan mencipta kejayaan dalam kenderaan hibrid dan penerokaan hidrogen sebagai minyak pada masa akan datang.

    Tetapi baru-baru ini Toyota telah memperlahankan penghasilan EV yang dijana menggunakan bateri, dilihat sebagai kunci utama mengurangkan pencemaran karbon.

    Logo syarikat pengeluar kenderaan, Toyota di Tokyo. Toyota akan membuat pelaburan mencecah AS$5.3 bilion bagi meningkatkan penghasilan bateri untuk EV. – AP

    “Dengan pelaburan ini, Toyota berhasrat untuk meningkatkan kapasiti penghasilan bateri terkumpul di Jepun dan AS meningkat kepada 40GWh,” menurut kenyataan syarikat tersebut.

    Toyota berkata ia menyasarkan memulakan penghasilan sel bagi kenderaan yang dijana oleh bateri di dua buah negara antara 2024 dan 2026.

    Kira-kira 400 bilion yen akan dibelanjakan di Jepun dan sekitar 325 bilion yen di AS, menurut kenyataan syarikat, yang menjangkakan kilang pembuatan bateri baharu di Utara California beroperasi mulai 2025.

    Pengumuman tersebut dibuat selepas Honda mendedahkan ia akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari Korea Selatan, LG Energy Solution untuk melabur AS$4.4 bilion untuk kilang bateri EV di AS.

    Bulan lalu, gergasi elektronik Jepun dan pembekal Tesla, Panasonic mengumumkan pelaburan sebanyak AS$4 bilion untuk membina kilang bateri yang baharu di AS untuk EV. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...