Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    UNISSA terima undangan anjur PASAK 8

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Buat julung kalinya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah dijemput menjadi penganjur bersama Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan kali ke-8 (PASAK 8) 2023, di Universiti Islam Selangor (UIS), baru-baru ini.

    Persidangan bertemakan ‘Implementasi Nilai dalam Mendepani Arus Digitalisasi’ itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teras Universiti Islam Selangor (PPT-UIS) bersama PPIB-UNISSA, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Fakultas Ushuluddin Adab dan Dakwah (IAIN) Indonesia, Jabatan Pendidikan Bahasa Arab, Pascasarjana (UIN) Antasari Banjarmasin Indonesia, Davao Oriental State University (DORSU), Filipina, Yala Rajabhat University of Thailand (YRU), Princess of Naradhiwas University (PNU), Pertubuhan Ilmuan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).

    Para pembentang terdiri daripada kakitangan akademik, para penyelidik dan profesional institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina dan negara-negara lain.

    Lima pembentang dari UNISSA terlibat untuk membentangkan kertas kerja masing-masing secara fizikal dan dalam talian.

    Penganjuran PASAK 8 antara lain bertujuan menyediakan platform dan peluang kepada ahli akademik dari pelbagai bidang untuk membincangkan penyelidikan akademik berkaitan bidang sains sosial dan kemanusiaan.

    Ahli-ahli sidang pleno dari institusi-institusi pengajian tinggi bergambar ramai pada majlis tersebut. – Gambar serahan UNISSA

    Pembentangan turut memfokuskan kepada isu-isu kemanusiaan yang berlaku di dunia Islam baru-baru ini, termasuk hak untuk hidup secara aman dan mendapat akses kepada keperluan asas dalam kehidupan.

    Dalam pada itu, turut diadakan adalah Sesi Sidang Pleno yang disampaikan oleh tujuh ahli panel dari institusi-institusi dalam dan luar negara.

    Salah seorang ahli panel ialah Pengarah PPIB-UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin, yang juga selaku Pengarah Bersama PASAK 8.

    Persidangan itu telah dirasmikan oleh Rektor Universiti Islam Selangor, Profesor Madya Dato’ Dr Haji Mohd Farid Ravi Abdullah dan ucaptama telah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Zulkiple Abd Ghani.

    Hasil daripada penganjuran PASAK selama tujuh tahun bermula 2016 sehingga 2022, pihak PASAK telah berjaya menghasilkan prosiding, e-prosiding dan buku dalam setiap persidangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...