Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Wisma Melayu bakal jadi mercu tanda baharu di Sarawak

    KUCHING, 11 OKT – Bangunan Wisma Melayu yang dijangka siap pembinaannya pada tahun 2025 nanti akan muncul sebagai mercu tanda baharu di Sarawak, menjadi tempat bagi menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan, sosial dan budaya, khususnya untuk masyarakat Melayu Sarawak di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembinaan bangunan bernilai RM73 juta yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan itu diilhamkan daripada motif tradisi dan kontemporari warisan estetika busana Melayu negeri ini seperti tengkolok dan Keringkam.

    “Untuk makluman, (bangunan) ini adalah hasil cetusan idea daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak kelima) semasa beliau menjadi pemimpin ketika itu,” katanya di majlis Simbolik Penyerahan Tapak Wisma Melayu di sini, hari ini.

    “Walaupun beliau telah meninggalkan kita, namun hasratnya tetap kita teruskan. Hasrat Allahyarham bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, malah seluruh masyarakat dari pelbagai kaum dan agama di negeri ini, agar kita akan terus bersatu padu, bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan Sarawak terus kuat dan maju,” tambahnya.

    Sementara itu merujuk kepada pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diumumkan perdana menteri semalam, Awang Tengah yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata Sarawak sudah bersedia meng-hadapi sebarang kemungkinan perubahan cuaca semasa PRU15 nanti.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini dilaporkan berkata Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 3 Oktober hingga November ini, yang akan menyebabkan negara mengalami kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat.

    Daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang menerajui GPS ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen manakala tiga lagi parti komponennya Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memiliki dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi. – Bernama

    Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua, kiri) diberi penerangan oleh arkitek Perunding Utama Architech Sdn Bhd, Rudy Azli Othman (kiri) mengenai model bangunan Wisma Melayu Sarawak pada majlis penyerahan tapak bangunan itu di Petra Jaya pada 11 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...