Monday, May 6, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    Woods mahu beraksi kejohanan utama

    MIAMI, 30 NOV – Tiger Woods, yang masih terbatas dengan kecederaan kaki setelah mengalami kemalangan kereta pada tahun 2021, berkata pada Selasa, bahawa dia berharap dapat bermain dalam kejohanan utama pada tahun 2023.

    “Matlamat saya ialah untuk bermain dalam satu atau dua kejohanan utama,” Woods memberitahu sidang media sebelum Cabaran Wira Dunia di Albany, Bahamas. ”Secara fizikal, itulah sahaja yang mampu saya lakukan.”

    Woods, yang menganjurkan acara tidak rasmi yang menguntungkan Yayasan TGR miliknya, menarik diri daripada kejohanan pada Isnin kerana kesakitan plantar fasciitis pada kaki kanannya, yang dikaitkan dengan kecederaan semasa kemalangan di luar Los Angeles pada Februari 2021. Juara 15 kali itu mendedahkan dia telah menjalani dua pembedahan tambahan pada tahun 2022, namun dia enggan memberitahu butiran lanjut mengenainya.

    Woods muncul dalam tiga kejohanan profesional pada tahun 2022 – mendapat tempat ke-47 dalam Masters pada April. Dia menarik diri selepas 54 lubang di Kejohanan PGA, yang bergelut dengan stamina dan seterusnya terlepas Kejohanan Terbuka di St. Andrews.

    Woods berkata pada tahun lalu selepas insiden itu, kebarangkalian untuk kaki kanannya dipotong ialah ‘50-50’.

    Gambar fail yang diambil pada 15 Julai 2022 menunjukkan pemain golf Amerika Syarikat, Tiger Woods berjalan semasa Kejohanan Golf Terbuka British ke-150 di St Andrews, Scotland. – AFP

    Pada Selasa, dia berasa agak mencabar untuk berlatih secukupnya dan pada masa yang sama menjaga tahap kesihatannya. Plantar fasciitis – radang di bahagian kaki yang menyebabkan tumit sakit – bermula apabila dia meningkatkan masa bermain dalam persediaan untuk kejohanan minggu ini.

    “Ia satu keputusan yang sukar, hanya kerana saya mahu bermain,” kata Woods semasa mahu menarik diri.

    “Saya suka bermain, saya suka bersaing, malangnya, saya hanya boleh memukul bola golf tetapi tidak mampu untuk berjalan.

    “Saya telah melalui beberapa kekangan pada tahun ini dan saya masih dapat bermain, tetapi untuk kali ini, saya tidak dapat.

    “Hanya masa yang mampu memulihkan kesakitan ini,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...