Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ballon d’Or milik Messi

    PARIS, 31 OKT – Lionel Messi memenangi anugerah Ballon d’Or kelapannya di sini kelmarin, manakala Aitana Bonmati dari Sepanyol meraih anugerah bagi kategori wanita, lapor Xinhua.

    Bintang bola sepak Argentina memenangi anugerah itu atas prestasi cemerlangnya memimpin Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar tahun lalu.

    Messi yang menjaringkan tujuh gol turut dinamakan pemain terbaik kejohanan.

    Messi, 36, memenangi anugerah bola sepak individu berprestij itu pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012, 2015, 2019, 2021 dan terkini 2023.

    “Ini adalah hadiah kepada seluruh pasukan Argentina,” kata Messi, sambil memberi penghormatan kepada rakan sepasukannya.

    “Menjadi juara dunia adalah gelaran yang kita hilang. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang membantu menjadikan Argentina pasukan juara dunia,” menurutnya lagi.

    Beliau juga mendedikasikan trofi itu kepada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona yang meninggal pada tahun 2020.

    Penyerang Manchester City, Haaland menduduki tempat kedua selepas membantu pasukannya memenangi Liga Juara-juara UEFA, Liga Perdana dan Piala FA, manakala pemenang kasut emas Piala Dunia Qatar, Kylian Mbappe di tempat ketiga.

    Bonmati memenangi Ballon d’Or wanita, mengatasi Sam Kerr dari Australia dan rakan senegara, Salma Paralluelo selepas membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia Wanita buat kali pertama pada Ogos.

    Sementara itu, pemain England, Jude Bellingham dinobatkan sebagai pemain bawah 21 tahun terbaik, manakala Haaland memenangi hadiah penyerang terbaik tahun ini.

    Rakan sepasukan Messi, Emiliano Martinez pula memenangi Anugerah Lev Yashin untuk penjaga gol terbaik. – Bernama

    Gabungan gambar yang dicipta pada 30 Oktober ini menunjukkan Messi dan Bonmati memegang anugerah masing-masing semasa majlis Ballon d’Or Perancis 2023 di Theatre du Chatelet di Paris baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...