Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.6 peratus bagi Ogos 2022 berbanding Julai 2022, dengan indeks makanan dan minuman ringan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus dan bukan makanan pula 0.6 peratus.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, peningkatan IHP bagi bulan Ogos adalah disebabkan meningkatnya harga makanan dan minuman ringan dan bukan makanan yang masing-masingnya pada 7 dan 3.9 peratus.
Ia adalah disebabkan kenaikan harga makanan seperti daging sebanyak 12.9 peratus, sayur-sayuran 10.5 peratus; dan beras serta bijirin 4.6 peratus.
Manakala harga daging ayam yang merupakan penyumbang utama kenaikan harga daging, meningkat disebabkan oleh kos makanan ternakan ayam yang tinggi.
Sementara harga sayur-sayuran pula meningkat disebabkan kenaikan harga baja dan kos pengambilan pekerja buruh, dengan harga produk mi juga bertambah susulan kenaikan harga gandum global.
Peningkatan dalam komponen bukan makanan adalah didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 13.7 peratus; pengangkutan 5.9 peratus serta restoran dan hotel 3.2 peratus.
Kenaikan harga pelbagai bara-ngan dan perkhidmatan sebahagiannya adalah disebabkan harga insurans kenderaan yang dipengaruhi harga pasaran kereta.
Manakala peningkatan bagi pengangkutan adalah disebabkan oleh harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan.
Peningkatan harga restoran dan hotel adalah disebabkan oleh harga perkhidmatan katering berkontrak selaras dengan harga makanan.