Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    13 belum daftar skim TAP

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Seramai 13 pekerja tempatan didapati gagal didaftarkan dan dicarumkan oleh majikan mereka di bawah skim TAP dan skim SCP susulan pemeriksaan yang dijalankan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan, baru-baru ini.

    Sebanyak 51 premis majikan telah diperiksa dalam lawatan itu di sekitar kawasan Kompleks Membeli-belah Mabohai dan Setia Kenangan 2, Kiulap. Menurut TAP, antara objektif utama lawatan berkenaan adalah bagi memastikan setiap pekerja mempunyai simpanan persaraan untuk kesejahteraan hari persaraan mereka nanti.

    TAP mengingatkan bahawa setiap majikan perlu bertanggungjawab dalam mendaftarkan dan membayar caruman skim TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka.

    Selain itu, TAP memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja adalah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah dengan log masuk ke akaun majikan melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Majikan tidak perlu lagi berurusan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.

    Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak penguatkuasaan TAP. – Gambar serahan TAP

    TAP juga menasihatkan majikan untuk mendaftarkan pekerjanya ke skim TAP dan SCP, bagi mengelak kesalahan di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, di mana majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    Manakala itu, bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, pihak pengadu boleh mengongsikan maklumat menerusi hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 8998290 ataupun e-mel kepada enforcement@tap.com.bn.

    Pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 semasa waktu bekerja.

    Sementara bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan log masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...